KUALA LUMPUR: Pemain muda negara, Clarissa San berharap dia tidak dibandingkan dengan Toh Ee Wei sebaliknya mahu menjadikan penampilan sulung bersama Chen Tang Jie pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun minggu depan sebagai medan menimba pengalaman.
Meskipun bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan bertaraf Super 750 itu, Clarissa berkata, dia teruja apabila diberi kepercayaan menggalas tugas bersama Tang Jie, selain bertekad membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dengan aksi terbaiknya.
“Kalau mahu dibandingkan saya dengan dia (Ee Wei), saya masih jauh lagi. Saya tidak mahu membandingkan diri saya kerana dia adalah idola saya dan saya mahu belajar daripada dia.
“Saya juga tidak sempat berjumpa dengan Ee Wei selepas dia cedera kerana dia terus ke Australia, tetapi sebelum itu kami ada berlatih bersama dan dia banyak memberi nasihat,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Clarissa, 20, menjadi pilihan ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto bagi menjadi pasangan sementara Tang Jie, selepas Ee Wei disahkan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
Mengulas lanjut mengenai Terbuka Jepun, menurut Clarissa, dia dan Tang Jie tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, malah, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada perlawanan demi perlawanan.
“Peluang untuk menang perlawanan memang ada, tetapi saya tidak mahu fikir terlalu jauh, fokus dulu satu demi satu perlawanan dan berikan yang terbaik,” ujarnya.
Ketika ditanya pula mengenai Tang Jie, Clarissa berkata, juara dunia itu dianggapnya sebagai mentor yang banyak memberi bimbingan sepanjang tempoh latihan.
Tambah anak jati Petaling Jaya, Selangor itu, Tang Jie sentiasa memberi tunjuk ajar setiap kali dia melakukan kesilapan, selain berkongsi cara terbaik untuk membina serangan dengan menghasilkan hantaran berkualiti.
“Tang Jie juga minta saya lebih banyak membuat ‘setting’ supaya dia boleh melakukan smash kerana itu adalah kekuatan utamanya,” kata Clarissa.
Clarissa berkata, jurulatih Nova juga memintanya bermain tanpa rasa takut dan Terbuka Jepun hanyalah satu permulaan kerana selepas ini lebih banyak kejohanan menantinya. – UTUSAN










