PETALING JAYA: Dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Jimmy Wong-Cheng Su Yin mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan pencabar masing-masing di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.
Pasangan No. 11 dunia, Soon Huat-Shevon mengambil masa selama 33 minit untuk membenam wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett menerusi kemenangan straight set 21-13, 22-20.
Pada pusingan kedua, esok, beregu profesional itu perlu mengharungi laluan yang lebih sukar apabila dijadualkan bertemu gandingan No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.
Dengan rekod pertemuan 1-10, di atas kertas Soon Huat-Shevon bukanlah beregu pilihan untuk muncul sebagai pemenang, tetapi, tidak mustahil kejutan mampu dilakukan jika mereka bermain baik dan tidak melakukan kesilapan mudah yang menghadiahkan mata kepada lawan.
Turut mengiringi pasangan suami isteri itu ialah pasangan ke-118 dunia, Jimmy-Su Yin yang mengejutkan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara yang menghuni ranking No. 14 dunia 21-19, 11-21, 21-19 dalam masa sejam.
Beregu yang baharu digandingkan itu bakal berdepan pasangan No. 7 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis di peringkat 16 terbaik.
Sementara itu, nasib berbeza dialami wakil perseorangan wanita, K. Letshanaa yang terpaksa akur kepada pemain No. 14 dunia, Kim Ga Eun dari Korea Selatan 16-21, 12-21 dalam masa 32 minit.
Kekalahan Letshanaa bermakna kesemua pemain perseorangan wanita Malaysia terkandas seawal pusingan pertama, selepas Wong Ling Ching turut ditunjukkan jalan keluar, kelmarin pada kejohanan berstatus Super 750 itu. – UTUSAN










