PETALING JAYA: Pemilihan kepemimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka berlangsung dalam suasana paling kompetitif apabila difahamkan tiga individu dicalonkan bagi merebut jawatan Presiden pada kongres pemilihan badan induk itu.
Ketiga-tiga calon berkenaan bukan nama asing dalam landskap bola sepak tempatan kerana masing-masing masih aktif memainkan peranan dalam sukan itu sama ada di peringkat kelab, penganjuran liga dan badan induk bola sepak negara.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, ketiga-tiga calon itu mendapat sokongan daripada ahli gabungan dengan seorang calon muka lama difahamkan sudah mendapat 12 percalonan, seorang lagi mendapat tujuh pencalonan dan seorang wakil kelab mendapat empat pencalonan.
“Apa yang menarik, kesemua mereka berjaya memperoleh pencalonan daripada ahli-ahli gabungan FAM, sekali gus membuktikan setiap calon mempunyai sokongan tersendiri dalam kalangan keluarga bola sepak tanah air untuk mengetuai badan induk berkenaan bagi penggal baharu.
“Persaingan kali ini dijangka lebih terbuka memandangkan setiap calon hadir dengan rekod pentadbiran yang berbeza, selain membawa visi masing-masing dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak negara di semua peringkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, pemilihan FAM kali ini menyaksikan pencalonan untuk kerusi Presiden dikurangkan kepada sekurang-kurangnya empat pencalonan, Naib Presiden tiga pencalonan, dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dua pencalonan.
Dalam 11 kerusi Exco pada struktur baharu FAM nanti, Presiden akan menerajui organisasi selain dibantu tiga kerusi Naib Presiden, manakala baki adalah adalah untuk jawatan Exco.
Antara fokus yang dijangka menjadi perhatian perwakilan ialah usaha memperkasakan pembangunan akar umbi, meningkatkan mutu pertandingan domestik, memperkukuh struktur kewangan persatuan serta melonjakkan prestasi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Pemilihan kali ini dilihat sebagai medan penting dalam menentukan hala tuju bola sepak negara bagi tempoh lima tahun akan datang, terutama ketika Malaysia berusaha meningkatkan kedudukan ranking dunia serta memburu kejayaan dalam kejohanan utama Asia.
Dalam masa sama, ahli gabungan dijangka menilai keupayaan setiap calon bukan sahaja berdasarkan pengalaman pentadbiran, malah kemampuan menyatukan semua pemegang taruh demi memastikan pembangunan bola sepak negara dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan mampan.
Keputusan pemilihan Presiden FAM bakal menjadi tumpuan seluruh komuniti bola sepak tempatan kerana individu yang dipilih akan memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan agenda pembangunan dan mengembalikan maruah bola sepak negara.
Dengan sokongan yang dimiliki setiap calon, perebutan jawatan No.1 FAM dijangka berlangsung sengit, sekali gus menjadikan kongres pemilihan kali ini antara yang paling dinanti dalam sejarah pentadbiran bola sepak Malaysia. – UTUSAN










