SIC sambut kepulangan F1 dengan fasiliti kelas dunia

SIC sambut kepulangan F1 dengan fasiliti kelas dunia

Litar Antarabangsa Sepang kini menjadi gelanggang Grand Prix Malaysia untuk perlumbaan MotoGP. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersedia menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Bahrain 2026 pada 2-4 Oktober ini, dengan keupayaan fasiliti dan operasi berkelas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, walaupun F1 tidak lagi berlumba di Sepang sejak beberapa tahun lalu, litar itu tidak pernah berhenti meningkatkan keupayaan fasiliti dan operasi bagi memastikan ia sentiasa memenuhi piawaian tertinggi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Sebagai litar bertaraf FIA gred 1, kami terus melabur dalam kemudahan, pembangunan tenaga kerja dan keupayaan operasi bagi memastikan kami bersedia menganjurkan perlumbaan yang memenuhi standard tertinggi seperti F1,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Jelasnya, menganjurkan GP F1 Bahrain bukan sahaja memberi impak kepada sukan permotoran, malah membuka ruang mempromosikan Malaysia di pentas antarabangsa, merancakkan sektor pelancongan, menjana limpahan ekonomi dan menyemarakkan minat generasi baharu terhadap sukan tersebut.

“Selamat kembali ke Sepang. Kami gembira litar ikonik ini sekali lagi berpeluang menjadi tuan rumah kepada keluarga F1 dan memainkan peranan dalam mencipta satu lagi sejarah sukan permotoran dunia,” ujarnya.

Azhan Shafriman turut menyifatkan peluang menjadi tuan rumah kepada GP F1 Bahrain sebagai satu penghormatan besar, sekali gus menandakan kesediaan Malaysia untuk kembali menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia itu.

Tambah beliau, kerjasama melibatkan F1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia itu membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan negara mengendalikan acara sukan permotoran berprestij. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN