Scaloni beri bayangan tinggalkan Argentina?

Scaloni beri bayangan tinggalkan Argentina?

SCALONI belum memberi kata putus tentang masa depannya bersama Argentina-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya bersama skuad La Albiceleste selepas Piala Dunia 2026.

Jurulatih berusia 48 tahun itu gagal mengawal emosi selepas menyaksikan impian Argentina mempertahankan kejuaraan dunia berkecai susulan kekalahan 0-1 kepada Sepanyol dalam masa tambahan di Stadium New York New Jersey, semalam.

Scaloni tidak memberikan jaminan bahawa beliau akan terus membimbing Argentina selepas ini, sebaliknya mengakui memerlukan masa untuk menilai semula kedudukannya selepas mengharungi satu perjalanan luar biasa bersama pasukan tersebut.

“Saya perlu berfikir kerana saya tidak tahu sama ada mampu melakukan sesuatu yang lebih besar daripada ini.

“Kami perlu berbincang. Mengendalikan pasukan ini adalah impian setiap jurulatih. Kami sudah memberikan segala-galanya hingga saat terakhir, begitu juga pemain dan saya rasa sudah tiba masanya untuk menilai semula keadaan,” katanya.

Kenyataan tersebut menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan Scaloni yang dianggap arkitek kepada kebangkitan semula Argentina dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak mengambil alih pasukan pada 2018, beliau berjaya mengembalikan kegemilangan Albiceleste dengan menghadiahkan gelaran Copa America 2021, Piala Dunia 2022 dan Copa America 2024, selain membawa pasukan mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Scaloni mengakui perjalanan yang ditempuh bersama generasi pemain sedia ada jauh melebihi apa yang pernah dibayangkannya ketika mula diberikan tanggungjawab mengendalikan pasukan kebangsaan.

Menurutnya, cabaran terbesar selepas ini bukan sekadar mempertahankan reputasi Argentina sebagai kuasa bola sepak dunia, tetapi membina semula pasukan yang bakal kehilangan ramai pemain utama yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka selama ini.

“Saya tidak pernah membayangkan akan berada di tahap ini. Untuk meneruskan perjalanan, banyak perkara perlu dipertimbangkan.

“Paling penting, kami perlu membina semula pasukan kerana kumpulan pemain seperti ini mungkin sukar ditemui lagi. Hati saya benar-benar sedih. Maaf,” jelasnya sebelum terdiam beberapa saat sambil menahan emosi.

Walaupun kecewa, Scaloni menegaskan Argentina perlu menerima kekalahan tersebut dengan penuh profesionalisme dan kematangan, sama seperti ketika mereka menikmati pelbagai kejayaan sebelum ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jutaan penyokong Argentina yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang kempen Piala Dunia 2026.

Bagi Scaloni, walaupun gagal mempertahankan trofi namun semangat juang yang dipamerkan para pemain sehingga ke wisel penamat tetap menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Argentina.-AGENSI=

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN