MADRID: Pemain Terbaik Piala Dunia 2026 Rodri kini menunggu lampu hijau daripada Presiden Real Madrid, Florentino Perez bagi merealisasikan hasratnya kembali beraksi di Sepanyol.
Manchester City sudah mendapatkan Elliot Anderson dan sedang berusaha melengkapkan perpindahan bakat muda Lille, Ayyoub Bouaddi ketika mereka masih menanti keputusan Rodri berhubung tawaran kontrak baharu yang dikemukakan pada April lalu.
Kontrak pemain berusia 30 tahun itu hanya berbaki setahun bersama City dan dilaporkan berminat menyertai Real, sokongan terhadap perpindahan itu semakin meningkat selepas beliau mengetuai Sepanyol muncul juara Piala Dunia.
Perez pada awalnya dikatakan kurang berminat untuk meneruskan perpindahan berkenaan, namun beberapa individu dalam pengurusan kelab percaya ia mampu memberi manfaat besar kepada Real Madrid, termasuk dari sudut imej kelab.
Pengendali baharu, Jose Mourinho mahu memperkukuhkan pengaruh pemain berpengalaman dalam skuad bagi menghapuskan perpecahan yang dikatakan wujud di bilik persalinan.
Bagaimanapun, ketibaan Rodri berpotensi membuka ruang kepada beberapa pemain meninggalkan Santiago Bernabeu.
Aurelien Tchouameni sudah bersetuju melanjutkan kontraknya dan mahu kekal bersama Real Madrid, namun peluang beraksi mungkin semakin terhad jika Rodri menyertai kelab itu.
Rakan senegaranya dari Perancis, Eduardo Camavinga, juga dilaporkan berkemungkinan meninggalkan, sekali gus menyebabkan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris memantau perkembangan berkenaan.
Manchester United dilaporkan sudah lama meminati Tchouameni, namun tidak mengambil sebarang langkah baharu selepas dimaklumkan pemain berusia 26 tahun itu sukar diperoleh selain menuntut gaji tinggi yang tidak sesuai dengan struktur gaji semasa kelab.
Camavinga pula dikatakan menjadi sasaran City, Chelsea dan Arsenal.
Walaupun memiliki pengalaman luas di peringkat tertinggi, pemain itu baru berusia 23 tahun dan dianggap menawarkan nilai yang lebih baik, namun keputusan akhirnya bergantung kepada sama ada beliau bersedia meninggalkan Real. – AGENSI/UTUSAN










