Pemain Argentina pertahan maruah negara - Fernandez

Pemain Argentina pertahan maruah negara – Fernandez

Enzo Fernandez (kiri) melakukan terjahan keras terhadap pemain Sepanyol, Pau Cubarsi dalam aksi final Piala Dunia 2026 di Stadium New Jersey, Isnin lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Enzo Fernandez menegaskan semua pemain mewakili Argentina sebaik mungkin pada kempen Piala Dunia 2026 meskipun pemain tengah Chelsea itu dilayangkan kad merah dalam aksi final selain dibayangi beberapa insiden kontroversi sepanjang kejohanan.

Fernandez diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua susulan terjahan keras terhadap pertahanan Sepanyol, Pau Cubarsi, pada penghujung masa sebenar ketika Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol pada final Ahad lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi individu terbaru dikaitkan dengan beberapa insiden yang mencetuskan kontroversi sepanjang perjalanan Argentina ke pentas final.

Leandro Paredes pula didakwa cuba menumbuk beberapa pemain Sepanyol ketika mereka meraikan kemenangan, sekali gus mendorong FIFA membuka siasatan terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran disiplin susulan kekecohan selepas perlawanan.

Malah, pemain-pemain Argentina turut membelakangi pentas penyampaian hadiah ketika skuad Sepanyol menerima pingat dan trofi kejuaraan.

Sebelum itu, mereka turut mengundang kritikan apabila mempamerkan kain rentang bertulis “Las Malvinas son Argentinas” (Kepulauan Falklands milik Argentina) selepas menewaskan England pada separuh akhir.

Isu Kepulauan Falklands kekal sensitif selepas Argentina menceroboh wilayah seberang laut Britain itu pada 1982 sebelum Britain merampas semula kepulauan berkenaan menerusi perang singkat yang diarahkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Margaret Thatcher.

Menerusi hantaran di Instagram, Fernandez mempertahankan aksi Argentina di Piala Dunia namun tidak menyentuh langsung mengenai kad merah yang diterimanya pada final.

“Apabila masa berlalu, anda akan sedar ada sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar keputusan perlawanan.

“Selama bertahun-tahun, kumpulan ini mewakili pasukan dengan cara yang terbaik. Ia mengajar bahawa bersaing bukan sekadar untuk menang, tetapi memberikan segala-galanya demi jersi dan tidak pernah berputus asa,” katanya.

Fernandez merupakan anggota skuad Argentina yang muncul juara Piala Dunia 2022 di Qatar selepas menewaskan Perancis dan ketika itu dia dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik.

Namun impiannya untuk menjulang trofi dunia buat kali kedua berturut-turut berkecai apabila dibuang padang, sebelum Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 dalam final yang hambar dan dicemari corak permainan bertahan Argentina.

“Ia satu penghormatan dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan yang sentiasa bersedia, bersaing di tahap tertinggi dan mempertahankan warna negara dengan penuh bangga, rendah diri serta komitmen.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong Argentina yang sentiasa bersama kami, menyokong kami dalam setiap perlawanan dan membuatkan kami berasa seperti berada di tanah air walau di mana kami berada.

“Memakai jersi negara adalah penghormatan terbesar dalam karier saya dan saya akan terus memberikan segala-galanya setiap kali diberi peluang mempertahankannya,” katanya.-AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN