KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan menambah baik insentif pelepasan cukai kepada syarikat korporat dalam usaha menarik lebih banyak penajaan untuk pembangunan sukan negara.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini menyiapkan satu kertas cadangan untuk dibentangkan kepada Kabinet bagi memperkenalkan kemudahan cukai yang lebih menarik kepada bakal penaja.
Menurutnya, cadangan itu dibuat selepas isu pelepasan cukai sering dibangkitkan syarikat korporat dalam beberapa sesi libat urus bersama bakal penaja sebelum ini.
“Kami pernah membentangkan beberapa cadangan kepada Kabinet termasuk berkaitan pelepasan cukai berganda (double taxation), namun kerajaan berpandangan ia tidak praktikal untuk dilaksanakan ketika ini.
“Bagaimanapun, kami sedang menyiapkan satu kertas bersama KBS untuk dibawa ke Kabinet berhubung kemudahan cukai yang lebih menarik dan pengumuman mengenainya akan dibuat oleh KBS,” katanya.
Menurut Jefri, antara cadangan MSN ialah meningkatkan kadar pelepasan cukai supaya lebih kompetitif berbanding kadar sedia ada, sekali gus menarik lebih banyak syarikat korporat melabur dalam pembangunan sukan.
“Kalau boleh kami mahu menaikkannya seperti yang dilaksanakan di Singapura yang setakat pengetahuan saya sekitar 15 peratus.
“Namun apa yang paling banyak diminta industri ialah pelepasan cukai berganda dan mekanisme itu perlu diperhalusi serta dibincangkan semua pihak berkaitan.”
Beliau berkata, ketika ini syarikat yang menyalurkan tajaan kepada persatuan sukan melalui MSN boleh menikmati pelepasan cukai sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah kemudahan pengecualian cukai Subseksyen 44(6).
Justeru, kemudahan itu membolehkan MSN membantu persatuan sukan menawarkan nilai tambah kepada bakal penaja, selain memudahkan proses permohonan pelepasan cukai bagi syarikat yang menaja badan sukan di negara ini.
“Melalui kemudahan Subseksyen 44(6), kami membantu persatuan mendapatkan pengecualian cukai untuk penaja. Sebagai contoh, jika Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaja Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), permohonan itu akan melalui MSN bagi mendapatkan pelepasan cukai.
“Buat masa ini, kadar pelepasan cukai adalah 10 peratus daripada pendapatan agregat. Ia sebenarnya sudah memberi manfaat, namun mungkin terdapat insentif baharu yang boleh diperkenalkan kepada bakal penaja pada masa depan, terutama menjelang temasya Sukan Sea,” katanya.-UTUSAN










