PETALING JAYA: Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) mencadangkan lima sukan tambahan bagi dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 selepas mendapat persetujuan hasil beberapa rundingan bersama Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
Lima sukan yang dicadangkan adalah dance sport, hoki ais, kabaddi, padel dan teqball sekali gus melengkapkan 43 senarai sukan yang bakal dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASOC, Abdul Rashid Yaakub berkata, keputusan berhubung penambahan lima sukan berkenaan adalah muktamad selepas mendapat kelulusan Majlis SEAGF.
“Sebenarnya tidak banyak lagi yang perlu ditambah. Perkara utamanya ialah penambahan lima sukan ini adalah muktamad. Jika mahu tambah lagi, kami perlu mengadakan mesyuarat lain dan mesyuarat hari ini adalah yang terakhir untuk SEAGF meluluskan bilangan sukan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat SEAGF Kedua di sini hari ini.
Mengulas mengenai sasaran pencapaian kontinjen negara, Abdul Rashid berkata, perkara itu akan diperincikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang bertanggungjawab menetapkan sasaran pingat.
“Pastinya Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan meneliti perkara ini. Mereka akan memeriksa secara lebih terperinci bagaimana sasaran pingat itu hendak ditetapkan.
“Bagi pihak kami di MASOC, tugas kami adalah untuk menganjurkan sukan tersebut dengan sebaik mungkin. Namun, dari segi sasaran prestasi, kita serahkan kepada pihak MSN.
“Walaupun kami sudah ada beberapa perbincangan awal dengan MSN, ketetapan rasmi biarlah datang daripada pihak mereka sendiri. Mungkin ketetapan itu akan diumumkan apabila tarikh temasya semakin hampir pada tahun hadapan,” katanya.
Selain itu, MASOC turut mencadangkan penambahan chinlone sebagai disiplin di bawah sukan sepak takraw serta polo sebagai disiplin di bawah sukan ekuestrian.
Kedua-dua cadangan itu telah disahkan oleh Majlis SEAGF dan menjadi sebahagian daripada keputusan muktamad bagi program pertandingan Sukan SEA 2027.
Perincian senarai disiplin dan acara sukan akan diumumkan oleh MASOC pada September ini. – UTUSAN










