Malaysia kekal tuan rumah MotoGP hingga 2031

Malaysia kekal tuan rumah MotoGP hingga 2031

Dr. Mohammed Taufiq Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia akan terus menjadi tuan rumah Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sehingga 2031 selepas kerajaan meluluskan lanjutan kontrak penganjuran selama lima tahun lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, lanjutan kontrak itu menjadi bukti keyakinan pihak penganjur terhadap kemampuan Malaysia mengendalikan acara bertaraf dunia secara konsisten sejak hampir tiga dekad lalu.

Menurut beliau, rekod penganjuran yang tersusun serta peningkatan aspek teknikal dan jumlah kehadiran penonton setiap tahun menjadi faktor utama kepercayaan tersebut terus diberikan kepada Malaysia.

“Malaysia telah membuktikan penganjuran yang sangat hebat dan teratur. Dunia sendiri percaya dengan penganjuran kita berdasarkan rekod prestasi hampir 30 tahun.

“Setiap tahun bukan sahaja jumlah penonton meningkat, tetapi aspek teknikal dan kualiti penganjuran juga ditambah baik. Itulah yang membina kepercayaan untuk kita mendapat kontrak selama lima tahun lagi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

MotoGP mula dianjurkan di negara ini sejak 1991 dan kehadiran peminat untuk menyaksikan Grand Prix (GP) Malaysia pada tahun lalu telah mencatat jumlah tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 190,977 penonton.

Taufiq berkata, penyambungan kontrak tersebut bukan sekadar memberi impak kepada sektor sukan dan pelancongan negara, malah menjadi platform penting dalam melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia.

“Sebab itu, itu kita bekerja rapat dengan semua pihak dalam memastikan keperluan pelumba seperti Hakim Danish dapat dipenuhi dan kita juga akan sentiasa pantau prestasinya agar kekal konsisten seiring dengan (kontrak) penganjuran MotoGP selama lima tahun.

“Kita juga mempunyai pelumba muda seperti Qabil Irfan yang sedang dibentuk menerusi kerjasama bersama ZK Racing, SIC dan KBS,” katanya.

Sementara itu, bercakap tentang peruntukan penganjuran untuk lima tahun GP Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif pula berkata, kos sebanyak RM457 juta dianggarkan bakal ditanggung bersama oleh SIC dan kerajaan untuk penganjuran lima tahun itu.

“Jadi maksudnya daripada RM457 juta, untuk tahun pertama, 10 peratus peruntukan datang daripada SIC, manakala 90 peratus disalurkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan ia akan berjalan secara berperingkat.

“Jika dilihat dari sudut dana keseluruhannya, kos sebanyak 30 peratus daripada SIC, manakala 70 peratus datang daripada kerajaan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN