NEW YORK: Liverpool meneruskan rentak kemenangan di bawah kendalian pengurus baharu, Andoni Iraola selepas menewaskan Wrexham 1-0 pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Yankee, New York, semalam.
Jaringan tunggal penyerang muda, Rio Ngumoha pada minit ke-75 menggembirakan lebih 42,000 penyokong The Reds yang memenuhi stadium ikonik berkenaan.
Kemenangan itu melengkapkan permulaan positif Iraola bersama Liverpool selepas sebelum ini membimbing pasukan gergasi Merseyside itu menewaskan Sunderland 4-2 dalam aksi pertamanya sejak mengambil alih tugas daripada Arne Slot.
Iraola berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para pemain sepanjang jelajah pramusim di Amerika Syarikat dan percaya pasukannya semakin memahami corak permainan yang mahu diterapkan.
“Setiap perlawanan memberi kami peluang untuk berkembang. Saya melihat pemain bekerja keras, menunjukkan disiplin dan cuba melaksanakan apa yang kami latih sepanjang minggu.
“Keputusan memang penting, tetapi apa yang lebih menggembirakan saya adalah cara pasukan bermain. Kami mencipta peluang, mengawal permainan untuk tempoh yang lama dan menunjukkan identiti yang saya mahukan.
“Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, namun saya gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan pemain. Kami mahu terus membina momentum ini sebelum musim baharu bermula,” katanya.
Bagaimanapun, kemenangan itu sedikit dicemari dengan kecederaan Joe Gomez dan ia menimbulkan kebimbangan menjelang aksi terakhir jelajah pramusim.
Turut tidak beraksi ialah pemain baharu Jeremy Jacquet serta beberapa tonggak utama yang terlibat dalam Piala Dunia baru-baru ini termasuk Ryan Gravenberch, Florian Wirtz dan Alexander Isak.
Sebelum perlawanan, Iraola memaklumkan Gravenberch, Wirtz dan Isak berkemungkinan kembali beraksi dalam pertemuan menentang Leeds United di Stadium Soldier Field, Chicago, Ahad ini.
Sementara itu, Wrexham yang semakin mendapat perhatian dunia sejak dimiliki pelakon Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney, gagal memberi tentangan sengit meskipun hadir dengan reputasi baik selepas mencatat kemenangan pramusim ke atas Manchester United dan Leeds. – AGENSI/UTUSAN










