KUALA LUMPUR: Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching mengakui dia sanggup mengharungi proses sukar mengubah corak permainan biarpun menyedari perubahan itu menyebabkan prestasinya belum cukup konsisten menjelang Terbuka Jepun di Tokyo pada 14 hingga 19 Julai ini.
Pemain ranking ke-36 dunia itu berkata, saingan Super 750 membuka matanya mengenai jurang sebenar antara dirinya dengan kelompok pemain elit dunia yang perlu dirapatkan sekiranya mahu terus bersaing di pentas tertinggi.
“Saya rasa sebelum ini standard permainan saya mungkin cukup untuk kejohanan Super 100 dan Super 300, tetapi bila masuk Super 500 dan Super 750 memang saya dapat rasa tahapnya sangat berbeza.
“Sekarang saya sedang ubah banyak perkara daripada segi pelan permainan dan taktikal, jadi sepanjang proses itu memang akan ada prestasi yang tidak begitu baik, tetapi saya sedang melalui proses tersebut,” kata Ling Ching.
Ling Ching yang bakal membuat penampilan kedua dalam kejohanan Super 750 selepas terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Singapura Mei lalu berkata, fokus utamanya di Jepun bukan lagi memburu keputusan semata-mata, sebaliknya membina semula keyakinan diri.
“Saya rasa saya masih belum puas hati dengan prestasi sendiri kerana selepas kecederaan saya kehilangan rentak dalam beberapa kejohanan, jadi Terbuka Jepun ini saya anggap sebagai peluang untuk meningkatkan semula keyakinan.
“Saya tidak letakkan sasaran sampai ke pusingan tertentu kerana kalau bertemu pemain kelompok 10 terbaik dunia saya hanya mahu berikan aksi terbaik dan cuba belajar sebanyak mungkin daripada mereka,” katanya.
Kelmarin, ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menegaskan beliau tidak lagi mahu Ling Ching serta K. Letshanaa sekadar hadir mengutip mata ranking, sebaliknya berani mencabar pemain-pemain terbaik dunia pada Terbuka Jepun dan Terbuka China.
Menurut Ling Ching, dia memahami perubahan sasaran tersebut kerana kelompok 50 terbaik dunia kini memiliki kualiti yang hampir seimbang, namun pemain kelompok 20 dan 10 terbaik masih berada pada tahap berbeza.-UTUSAN










