KOTA BHARU: Langkah penjenamaan semula hanya akan diambil sekira Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) telah sampai ke titik terburuk, terutamanya berkaitan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Presidennya, Muhamad Zaki Harun menegaskan, majoriti pengurusan kelab dan pihak-pihak berkepentingan masih ingin mengekalkan nama dan logo rasmi KRW FC.
Menurutnya, kedua-dua elemen itu amat nostalgik bukan hanya kepada warga KRW FC, malah kepada peminat dan penyokong bola sepak Kelantan.
“Nama dan logo ini adalah perkara yang dianggap keramat bagi kita, terutamanya nostalgia kejayaan yang dicipta di sebalik kedua-duanya. Kalau boleh kita mahu kekalkan.
“Namun jika sudah sampai kepada titik terburuk dan terpaksa ditukarkan, kita sudah bersedia dengan langkah penjemaan semula,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Penaja KRW FC, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah penjenamaan semula akan turut melibatkan peminat dan penyokong Kelantan yang akan terlibat secara langsung dalam proses menamakan kelab serta mencipta logo baharu.
“Kalau nak tukar nama, kita mahu guna nama apa dan logo pula macam mana? Kita buat pertandingan dan libatkan peminat di luar sana.
“Namun nama dan logo ini bukan sesuatu yang semestinya ditukar kerana jika kita boleh bergerak dengan jenama sedia ada, itu lebih baik, sebab ia sudah ada di pasaran,” katanya.
Muhamad Zaki memberitahu, jenama KRW FC sebenarnya bukan sekadar berada di pasaran tempatan, malahan telah meluas sehingga ke negara-negara ASEAN seperti Brunei dan Thailand.
“Prestasi baik yang ditampilkan pada saingan Liga A1 musim lalu dan corak permainan berkualiti di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, nama KRW FC sudah dikenali di luar negara.
“Kalau pujian di peringkat tempatan mungkin orang kata ‘sedaplah tempat dia’. Namun pujian ini datang dari luar negara dan ia adalah hasil kepakaran, pengalaman dan percaturan taktikal terbaik dari Irfan Bakti,” ujarnya.- UTUSAN










