KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) tidak mahu kejayaan program Jejak Juara terhenti setakat mencungkil bakat baharu apabila kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya menerusi pelancaran program Juara Baru, dengan fokus utama melahirkan lebih ramai pemain perseorangan wanita bertaraf kebangsaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, selepas empat edisi Jejak Juara sejak 2023, tiba masanya KLBA memberi tumpuan kepada jurang pembangunan yang masih wujud, khususnya dalam sektor perseorangan wanita.
“Kejayaan Jejak Juara memberi keyakinan kepada kami untuk bergerak ke fasa seterusnya iaitu Juara Baru. Kami akan meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini, tetapi kali ini memberi fokus kepada aspek yang masih kurang.
“Kalau kita lihat sekarang, kita mempunyai beregu wanita yang baik seperti Pearly Tan dan M. Thinaah, tetapi dalam perseorangan wanita kita masih kekurangan pemain. Kami mahu Kuala Lumpur memainkan peranan untuk mengisi jurang itu,” katanya selepas penutup Kejohanan Badminton Tertutup Kuala Lumpur, di Stadium Titiwangsa hari ini.
Menurut Jahaberdeen, KLBA turut merancang mewujudkan pusat latihan khas untuk pemain wanita muda menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), selain menjalinkan kolaborasi bersama bekas pemenang pingat perak Olimpik, Goh Liu Ying.
“Kami sudah berbincang dengan JPWPKL mengenai cadangan menggunakan sebuah sekolah perempuan yang mempunyai kemudahan asrama sebagai pusat pembangunan pemain wanita.
“Kami juga akan bekerjasama dengan Akademi Goh Liu Ying dalam beberapa program pembangunan kerana kami mahu lebih ramai pemain wanita berkualiti dapat dilahirkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Jejak Juara yang memasuki edisi keempat berjaya menghimpunkan hampir 3,000 pemain muda selain menyumbang kejayaan Kuala Lumpur muncul antara pencabar utama di MSSM serta beberapa kejohanan pembangunan anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam pada itu, Pengarah Program Jejak Juara, Datuk Vincent Chin pula berkata, aksi kategori bawah sembilan dan bawah 11 tahun paling mencuri perhatian apabila beberapa pemain bukan pilihan berjaya mencipta kejutan untuk mara ke pentas akhir, sekali gus bakal diserap ke dalam program Juara Baru sebagai pelapis baharu badminton Kuala Lumpur.










