PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin buat kali pertama menjejakkan kaki ke suku akhir sejak digandingkan bersama, Mei lalu pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.
Pasangan yang kini menghuni ranking ke-118 dunia itu sekali lagi mencipta kejutan dan kali ini mereka membenam beregu No. 7 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue 23-21, 24-22 dalam masa 53 minit di peringkat 16 terbaik.
Jimmy-Su Yin belum pernah bertemu beregu handalan Perancis itu dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini dan kemenangan, hari ini, menyaksikan mereka kini mendahului rekod pertemuan dengan kedudukan 1-0.
Kali pertama mara ke suku akhir, laluan Jimmy-Su Yin tidak mudah kerana beregu Denmark yang menghuni ranking No. 3 dunia, Mathias Christiansen-Alaxandra Boje menanti mereka, esok.
Gandingan baharu itu semakin menunjukkan keserasian, cuma Jimmy perlu mengawal rasa gugup yang dirasainya terutama ketika permainan berada dihujung aksi.
Berdepan beregu berpengalaman seperti Christiansen-Boje, tiada apa yang merugikan buat Jimmy-Su Yin kerana jika menang ia satu bonus, namun, seandainya tewas, jadikanlah kekalahan itu sebagai satu pengalaman bermanfaat.
Kemaraan Jimmy-Su Yin ke suku akhir sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan peminat badminton di tanah air yang hampa dengan kekalahan satu lagi wakil beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao.
Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking No. 11 dunia mengalami kekalahan kali ke-11 di tangan pasangan No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 14-21, 7-21 dalam masa 29 minit.
Pasangan suami isteri itu gagal memecah angka satu kemenangan yang pernah dicipta ke atas beregu handalan China itu pada Terbuka China, dua tahun lalu dan kekalahan tersebut menyaksikan mereka gagal mengubah rekod buruk setiap kali bertemu Zhen Bang-Ya Xin.
Nasib malang turut mengiringi Jun Hao yang terpaksa akur dengan kekalahan rubber set kepada bintang No. 5 dunia, Christo Popov dari Perancis 21-16, 11-21, 17-21 dalam masa 60 minit.
Kegagalan itu menyaksikan Jun Hao yang kini jatuh ke ranking No. 30 dunia tunduk buat kali pertama kepada Popov daripada tiga pertemuan yang direkod dalam Jelajah Dunia BWF. – UTUSAN










