PETALING JAYA: Selepas angkat berat mencetus ledakan lima emas di Glasgow, kini tumpuan beralih ke Velodrom Sir Chris Hoy apabila acara keirin malam ini dilihat membuka peluang terbaik buat Malaysia menambah lagi kilauan emas pada temasya Sukan Komanwel 2026.
Harapan itu bakal dipikul dua pelumba berpengalaman negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang memulakan cabaran pusingan pertama pada pukul 11 malam ini, sebelum perebutan pingat dijadual berlangsung kira-kira pukul 2 pagi Sabtu.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengingatkan laluan kedua-dua pelumba negara bukan mudah memandangkan keirin kali ini menghimpunkan beberapa jaguh bertaraf dunia, justeru sasaran utama pasukannya ketika ini adalah memastikan Azizulhasni dan Shah Firdaus terlebih dahulu melangkah ke perlumbaan akhir.
“Memang sasaran kita cuba memburu emas, tetapi lawan-lawan kita semua kuat. Azizulhasni pun ada sekali, jadi apa yang penting sekarang ialah fokus untuk masuk final dahulu.
“Untuk Shah Firdaus memang sasaran dia final keirin, manakala Azizulhasni pula kita sasarkan final dalam acara pecut dan keirin. Bila sudah berada di final, barulah kita tengok peluang untuk memburu pingat,” kata Harnizam.
Bagaimanapun, laluan Malaysia bukan mudah apabila keirin kali ini menghimpunkan beberapa pelumba elit Komanwel termasuk juara bertahan Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago serta bekas juara dunia dari England, Matthew Richardson yang terkenal sebagai antara pelumba terpantas dunia.
Turut menjadi ancaman ialah pelumba England, Harry Ledingham-Horn yang mendapat kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, selain Tayte Ryan dari Australia, bintang muda yang semakin mencuri perhatian selepas mempamerkan prestasi konsisten di pentas antarabangsa.
“Sekarang kita sudah masuk fasa kelajuan dan kekuatan. Semua latihan lebih spesifik kepada perlumbaan dengan penggunaan motor-pace, race wheel dan intensiti yang lebih tinggi.
“Apa yang kami lakukan sekarang semuanya menjurus kepada situasi perlumbaan sebenar supaya pelumba benar-benar bersedia apabila berada di Glasgow nanti,” katanya.
Harnizam turut mengesahkan Azizulhasni kembali bersedia untuk beraksi selepas tidak menyertai beberapa sesi latihan beberapa minggu lalu bagi menjalani pemeriksaan terhadap lututnya, namun menjelaskan keadaan jaguh berusia 38 tahun itu tidak membimbangkan.
Shah Firdaus pula hadir dengan reputasi sebagai pemenang gangsa keirin Birmingham 2022 dan dijangka menjadi sandaran utama negara, manakala Azizulhasni masih memburu emas sulung Sukan Komanwel selepas dua kali meraih gangsa sepanjang kariernya. – UTUSAN










