Jersi kuning bukan sekadar prestij

Jersi kuning bukan sekadar prestij

TADEJ Pogacar-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAU: Memakai jersi kuning di Tour de France bukan sekadar lambang pendahulu perlumbaan, malah turut membawa beban tambahan yang boleh menjejaskan proses pemulihan pelumba sepanjang perlumbaan selama tiga minggu.

Juara bertahan, Tadej Pogacar sendiri mengakui keputusan melepaskan jersi kuning selepas peringkat keempat bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya strategi yang mampu memberi kelebihan kepada dirinya dan pasukan UAE Emirates-XRG.

“Sukar untuk mengukur perkara ini kerana ada hari yang benar-benar memenatkan dengan media dan ada hari yang lebih mudah.

“Hari ini saya dapat menjimatkan kira-kira satu setengah jam daripada semua tugasan wajib selepas perlumbaan dan itu pasti membantu proses pemulihan,” kata Pogacar.

Bekas juara empat kali Tour de France, Chris Froome turut menyifatkan keputusan UAE membiarkan Pogacar kehilangan jersi kuning sebagai langkah bijak bagi mengurangkan tekanan terhadap keseluruhan pasukan menjelang minggu-minggu penting perlumbaan.

“Ia mungkin keputusan yang bijak kerana dapat memberi sedikit ruang rehat kepada seluruh pasukan.

“Keputusan seperti inilah yang mungkin memberi kelebihan besar apabila memasuki minggu ketiga kerana pasukan masih segar ketika benar-benar diperlukan,” katanya.

Pelumba yang menyarung jersi kuning perlu melalui rutin panjang setiap hari termasuk majlis penyampaian hadiah, sesi bergambar, temu bual media, menandatangani cenderamata serta ujian antidoping sebelum dibenarkan pulang ke hotel untuk menjalani urutan, makan malam dan berehat.

Buat masa ini, tanggungjawab itu dipikul pelumba Norway, Torstein Traeen daripada pasukan Uno-X Mobility yang mengambil alih jersi kuning, manakala Pogacar kekal menjadi pilihan utama memburu gelaran Tour de France kelima yang akan menyamai rekod sepanjang zaman. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN