Jangan leka dibuai kemenangan -  Cheng Hoe

Jangan leka dibuai kemenangan –  Cheng Hoe

HARIMAU Malaya akan berdepan Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Piala ASEAN 2026.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan pemainnya agar tidak dibuai kemenangan selepas memulakan kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan hasil kemenangan 2-1 ke atas Myanmar, kelmarin.

Menurut Cheng Hoe,kemenangan di tempat lawan itu memberi suntikan keyakinan kepada pasukan, namun dia menegaskan masih banyak aspek yang perlu dipertingkatkan, terutama dari segi kecergasan, keserasian dan persefahaman dalam kalangan pemain.

“Sudah tentu keputusan ini benar-benar memberi saya keyakinan. Pemain bermain dengan sangat baik. Kami tahu kami mempunyai beberapa kelemahan kerana karakter pasukan masih dalam proses dibentuk, tetapi sedikit demi sedikit kami berjaya membinanya.

“Dari segi kecergasan, kami sedikit bimbang kerana kebanyakan pemain baru sahaja kembali daripada latihan pramusim, jadi mereka belum benar-benar bersedia. Namun, kami akan terus fokus satu perlawanan pada satu-satu masa.

“Saya berharap dalam satu atau dua perlawanan lagi kami akan lebih bersedia dari segi kerjasama, persefahaman dan keserasian dalam pasukan kerana itu amat penting,” katanya.

Bekas jurulatih Kedah itu turut memuji kepimpinan kapten, Paulo Josue yang berjaya mengemudi gabungan pemain muda dan berpengalaman sehingga mewujudkan suasana positif dalam kem negara.

“Saya sangat gembira kerana Paulo memimpin pasukan dengan baik. Gabungan pemain muda dan berpengalaman benar-benar membantu mewujudkan keharmonian dalam pasukan dan memberi keyakinan kepada kami untuk melihat sejauh mana pasukan ini mampu melangkah.

“Sebagai jurulatih saya sangat gembira, namun saya berharap semua pemain terus fokus untuk perlawanan seterusnya dan meningkatkan prestasi masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan Harimau Malaya yang bangkit daripada ketinggalan sebelum mengesahkan tiga mata berharga, Cheng Hoe mengakui skuad tuan rumah memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Seperti yang kita tahu, Myanmar bermain di laman sendiri dan mereka sebuah pasukan yang kuat. Mereka bermain dengan motivasi yang sangat tinggi serta memberikan komitmen penuh sepanjang perlawanan.

“Sudah tentu kami bergelut pada beberapa ketika, tetapi pemain bangkit dengan baik. Ia bukan perlawanan yang mudah kerana kami sudah menjangkakan Myanmar sentiasa memberikan cabaran yang hebat,” katanya.

Harimau Malaya akan melayan kunjungan Laos di laman sendiri esok dan kemudian bertandang ke Bangkok untuk menghadapi Thailand pada 1 Ogos sebelum menutup aksi Kumpulan B menentang Filipina pada 8 Ogos.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN