SEPANG: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan Indonesia sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026, selain mengakui
setiap pasukan memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan.
Malaysia yang diundi bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan India bakal berdepan laluan mencabar dalam kejohanan baharu anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu yang dijadual berlangsung di Jakarta dari 24 September hingga 3 Oktober ini.
Menurut Cheng Hoe, Indonesia dilihat sebagai pasukan paling menonjol dalam kumpulan berkenaan berdasarkan status mereka selaku tuan rumah selain memiliki kekuatan yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Singapura dan India juga tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-dua pasukan mempunyai kualiti tersendiri serta mampu menyukarkan misi Harimau Malaya untuk memburu tiket ke perlawanan akhir.
“Ini satu cabaran yang bagus untuk kita bertanding pada kejohanan ini. Dalam masa sama, kita tahu yang Indonesia adalah salah satu pasukan terkuat dalam kumpulan itu.
“Kita juga tidak dapat memandang rendah Singapura yang sedang dalam persiapan untuk Piala Asia. India juga dalam kumpulan ini dan saya lihat Indonesia adalah pasukan pilihan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Cheng Hoe berkata demikian sebelum skuad negara berlepas ke Bangkok bagi menghadapi Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.
Sebagai rekod, Piala ASEAN FIFA 2026 merupakan kejohanan baharu di bawah kelolaan FIFA yang diperkenalkan bagi meningkatkan daya saing bola sepak Asia Tenggara di samping membuka peluang kepada negara-negara bertanding mengutip mata ranking dunia.
Kelebihan utama kejohanan itu adalah ia berlangsung dalam kalendar rasmi FIFA, membolehkan setiap pasukan memanggil pemain terbaik mereka untuk memperkuatkan skuad masing-masing.
Difahamkan, format pertandingan tidak melibatkan saingan separuh akhir apabila hanya juara kumpulan akan layak ke final, manakala naib juara akan bertemu dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Pasukan yang menduduki tangga ketiga dan keempat pula akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi.
Setiap pasukan dijangka mengharungi antara dua hingga empat perlawanan sepanjang kejohanan, dengan juara Divisyen 1 bakal membawa pulang hadiah lumayan berjumlah AS$1 juta (RM4.09 juta). – UTUSAN










