LONDON: Pengurus Newcastle United, Eddie Howe bimbang jika bintang tengahnya, Bruno Guimaraes ‘terpancing’ dengan tawaran lumayan Arsenal.
Guimaraes, 28, menjadi sasaran utama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menerusi tawaran bernilai 70 juta pound (RM381 juta) selepas mempamerkan aksi konsisten bersama Newcastle.
Pemain itu kini sedang bercuti selepas mewakili Brazil di Piala Dunia 2026 dan dijangka kembali menyertai kem latihan pramusim bersama Newcastle di Sepanyol pada Jumaat ini.
Situasi itu mengimbau kenangan pahit Howe yang kehilangan penyerang Alexander Isak kepada Liverpool selepas melalui saga perpindahan berpanjangan musim lalu.
“Saya tidak mahu kehilangan pemain terbaik kami. Saya sudah bercakap dengannya seperti biasa. Bruno seorang individu yang hebat dan kami sering berbincang sebelum, semasa serta selepas Piala Dunia.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku mengenai masa depannya. Banyak perkara sedang diperkatakan, namun ada perbincangan yang saya sendiri tidak terbabit,” katanya.
Arsenal dilaporkan mengalihkan tumpuan kepada Guimaraes selepas memilih untuk tidak menyamai tawaran Chelsea bernilai 117 juta pound (RM637 juta) bagi mendapatkan penyerang England, Morgan Rogers.
Bagaimanapun, Howe tetap optimis kapten Newcastle itu akan terus setia bersama The Magpies.
“Tiada apa-apa yang menunjukkan Bruno tidak akan kembali menjalani latihan bersama kami. Dia ialah kapten pasukan, seorang pemain dan insan yang luar biasa sepanjang kami bekerja bersama.
“Saya bercakap bagi pihak seluruh warga kelab. Kami amat menghargainya dan sudah tentu semua orang mahu dia terus kekal di Newcastle,” katanya. – AGENSI










