Harimau Malaya benam Laos 4-0

Harimau Malaya benam Laos 4-0

PAOLO Josue meledak gol pertama ketika Harimau Malaya menewaskan Laos 4-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tidak berdepan masalah mengutip tiga mata penuh dalam aksi kedua Kumpulan B Piala ASEAN 2026 apabila menewaskan Laos 4-0, sebentar tadi.

Biarpun ‘lambat panas’ dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya menghiburkan 10,044 penyokong setia yang hadir ke stadium.

Harimau Malaya bermula agak perlahan pada babak pertama, namun berjaya melancarkan beberapa gerakan berbahaya bagi memecah benteng pertahanan Laos yang lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Namun, serangan balas Laos pada minit ke-25 hampir memerangkap anak buah Cheng Hoe menerusi rembatan Chanthavixay Khounthoumphone yang berjaya ditepis penjaga gol Malaysia, Azri Ghani.

Pada minit ke-32, giliran Harimau Malaya menguji barisan pertahanan Laos, namun rembatan Endrick dos Santos tersasar di sebelah kiri pintu gol biarpun hanya berdepan penjaga gol lawan, Keo Oudone Souvannasangso.

Gol yang dicari Harimau Malaya akhirnya menjelma seminit sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan menerusi kapten, Paulo Josue yang menolak mudah umpanan pemain sayap, G. Pavithran.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan apabila rembatan leret Endrick dari dalam kotak penalti berjaya menewaskan Souvannasangso pada minit ke-57.

Jaringan berkenaan ternyata membakar semangat pemain negara apabila anak buah Cheng Hoe melancarkan serangan bertali arus ke pintu gawang lawan, sekali gus memaksa pertahanan Laos bekerja keras.

Serangan bertali arus menerusi Pavithran di bahagian sayap kiri memberi masalah besar buat Laos yang akhirnya menyaksikan Viengxay Sitdavong tertampan bola ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-66.

Pada minit ke-84, pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzain Wan Ahmad Kamal membuka akaun jaringan bersama Harimau Malaya apabila sepakan percumanya menewaskan Souvannasangso buat kali keempat.

Selepas ini, Harimau Malaya akan bertandang ke Bangkok bagi menghadapi Thailand pada 1 Ogos sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Filipina di Cheras pada 8 Ogos.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN