PETALING JAYA: Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasi dipamerkannya biarpun menghadiahkan emas keempat Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Atlet berusia 23 tahun itu muncul juara acara lelaki kategori 88 kilogram (kg) selepas mengatasi pencabar lain di pentas pertandingan yang berlangsung di SEC Armadillo, Scottish Event Campus, sekali gus meneruskan rentak cemerlang kontinjen negara di Glasgow.
Bagaimanapun, Hafizuddin menyifatkan kegagalan menyempurnakan angkatan pertama dalam acara snatch menjadi detik yang sedikit mencacatkan persembahannya kerana percaya mampu mencatat keputusan lebih baik sekiranya angkatan itu berjaya disempurnakan.
“Semestinya saya tidak berpuas hati sebab angkatan pertama snatch saya sangat ringan, tetapi saya tak tahu apa yang berlaku. Saya tak dapat tahan dan masa nak bangun badan saya bergoyang, jadi angkatan itu tak dikira.
“Kalau angkatan itu menjadi, mungkin saya boleh berikan persembahan yang lebih baik kerana catatan hari ini masih jauh daripada rekod peribadi saya,” katanya.
Meskipun sedikit kecewa dengan prestasi sendiri, Hafizuddin tetap bersyukur kerana berjaya menyumbang kilauan emas buat Malaysia, sambil menganggap kejayaan itu sebagai suntikan motivasi untuk terus memperbaiki pencapaiannya menjelang kejohanan lebih besar selepas ini.
Menurutnya, semangat juangnya turut dipengaruhi kejayaan rakan sepasukan yang mempamerkan kebangkitan luar biasa sebelum meraih emas, sekali gus menjadi inspirasi buat dirinya untuk terus berjuang sehingga ke angkatan terakhir.
“Memang ia membakar semangat saya. Senior saya yang sebilik pun dapat emas selepas melakukan kebangkitan yang cukup epik. Dia hampir dibatalkan penyertaan jika gagal lakukan satu angkatan, tetapi masih mampu bangkit,” katanya.
Kemenangan itu mencipta kenangan manis buat atlet kelahiran Perlis berusia 22 tahun itu pada penampilan pertama di Sukan Komanwel apabila muncul juara dengan jumlah angkatan keseluruhan 345kg, merangkumi 162kg bagi acara snatch dan 183kg bagi clean and jerk, dengan kedua-dua catatan itu turut mencipta rekod baharu temasya.
Juara acara lelaki 81kg Sukan Malaysia 2024 itu menamatkan saingan di hadapan pemenang pingat perak Cameron David McTaggart dari New Zealand yang mencatat jumlah angkatan keseluruhan 338kg manakala Angus Doig dari Scotland meraih pingat gangsa dengan 309kg. – UTUSAN










