Guru lawan anak murid di final Piala Dunia

Guru lawan anak murid di final Piala Dunia

LIONEL Scaloni (kiri) akan berdepan gurunya, Luis de la Fuente di final Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente akan berdepan bekas anak didiknya, Lionel Scaloni yang kini membimbing Argentina dalam aksi final Piala Dunia 2026, Isnin ini.

Sembilan tahun lalu, Scaloni hanyalah bekas pemain profesional yang sedang membina karier dalam bidang kejurulatihan apabila mengikuti kursus lesen profesional di pusat latihan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) di Las Rozas, pinggir Madrid.

Tenaga pengajarnya ketika itu ialah De la Fuente dan kini kedua-dua jurulatih tersebut berjaya mencipta nama dalam arena bola sepak antarabangsa dengan membimbing pasukan masing-masing ke pentas tertinggi dunia.

Scaloni, 48, dilantik sebagai pengendali Argentina pada Ogos 2018, kurang setahun selepas menghadiri kelas kejurulatihan kendalian De la Fuente.

Sejak itu, bekas pemain Deportivo La Coruna tersebut membawa Argentina memasuki era gemilang apabila menamatkan penantian 28 tahun untuk menjulang trofi utama menerusi kejayaan Copa America 2021.

Kejayaan itu diteruskan dengan kemenangan Piala Dunia 2022 sebelum Argentina menambah satu lagi kejuaraan Copa America pada 2024.

Dalam tempoh yang hampir sama, De la Fuente pula berjaya mengembalikan kegemilangan bola sepak Sepanyol selepas La Roja mengalami kemerosotan prestasi.

Dilantik sebagai ketua jurulatih pada Disember 2022 selepas Sepanyol tersingkir pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia akibat kekalahan kepada Maghribi, De la Fuente, berjaya membawa pasukan itu kembali menjadi antara kuasa utama dunia.

Kejayaan menjuarai Euro 2024 mengukuhkan lagi reputasinya sebelum Sepanyol mara ke final Liga Negara-Negara UEFA tahun lalu.

Kemenangan bergaya ke atas Perancis pada separuh akhir Piala Dunia 2026 pula meletakkan De la Fuente hanya selangkah untuk melengkapkan kejayaan terbesar dengan menjuarai Piala Dunia.

Menjelang pertemuan di Stadium MetLife, New Jersey, kedua-dua jurulatih tidak menyembunyikan rasa hormat antara satu sama lain.

“Dia adalah mentor saya dan mengajar saya segala yang saya tahu. Kini kami bertemu dalam satu perlawanan akhir.

“Saya masih ingat selepas Qatar apabila kami mengadakan persidangan bersama jurulatih. Saya berbual dengannya untuk tempoh yang agak lama. Dia telah melakukan kerja yang luar biasa bersama pasukannya dan saya amat gembira untuknya,” kata Scaloni.

Scaloni mempunyai hubungan rapat dengan Sepanyol selepas menghabiskan sebahagian besar karier bermainnya di negara itu, malah isterinya, Elisa Montero merupakan rakyat Sepanyol dan pasangan itu kini menetap bersama dua anak mereka di Mallorca.

“Sudah tentu semua orang tahu saya tinggal di Sepanyol dan mempunyai keluarga Sepanyol. Saya sangat menghormati mereka tetapi saya akan cuba menewaskan De la Fuente. Dia mendapat penghormatan mutlak daripada saya, bukan sahaja kerana corak permainan dan cara dia mengurus pasukan, tetapi juga sebagai seorang insan,” katanya.

De la Fuente turut memuji Scaloni dengan menyifatkannya sebagai anak murid yang mempunyai disiplin tinggi.

“Lionel adalah pelajar yang sangat tekun, dengan sikap dan minat yang luar biasa. Dia seorang yang sentiasa mahu berkembang.

“Menjadi gurunya adalah satu penghormatan, tetapi yang paling penting, saya menganggapnya sebagai seorang sahabat. Kami masih mempunyai hubungan yang baik serta saling menghormati,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN