LONDON: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melancarkan siasatan terhadap Argentina berhubung pelanggaran tatatertib susulan kekalahan pasukan itu kepada Sepanyol pada perlawanan akhir Piala Dunia 2026.
Selepas wisel penamat ditiupkan di New Jersey, pemain tengah Argentina Leandro Paredes didakwa menumbuk beberapa pemain Sepanyol ketika mereka meraikan kemenangan di atas padang.
Laporan pesuruhjaya perlawanan telah diteliti FIFA yang kemudian memutuskan untuk melantik seorang pendakwa raya tatatertib dan etika bagi menyiasat kemungkinan pelanggaran Kod Tatatertib FIFA.
Pasukan dari Amerika Selatan itu sekali lagi dikritik kerana pendekatan permainan yang dianggap terlalu keras, termasuk Enzo Fernandez yang diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.
“Selepas meneliti laporan-laporan berkaitan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA antara Sepanyol dan Argentina serta selaras dengan Artikel 36 Kod Tatatertib FIFA (FDC), Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah melantik seorang Pendakwa Raya Tatatertib dan Etika untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran FDC berhubung insiden yang berlaku selepas perlawanan
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebaik sahaja laporan pendakwa raya itu disiapkan,” kata FIFA dalam satu kenyataan.
Paredes tidak diperintahkan keluar padang dalam insiden kekecohan pada penghujung perlawanan Ahad itu.
Oleh itu, sebarang penggantungan atau tindakan tatatertib terhadap pemain itu bergantung kepada hasil siasatan retrospektif yang mungkin dibuka oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA. – AGENSI/UTUSAN










