Azizulhasni enggan kibar ‘bendera putih’

Azizulhasni enggan kibar ‘bendera putih’

AZIZULHASNI akan beraksi dalam acara pecut dan keirin di Sukan Komanwel 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang enggan menjadikan faktor usia dan status penampilan terakhir sebagai alasan untuk mengibarkan bendera putih lebih awal di Sukan Komanwel 2026.

Atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu dijadual memulakan cabaran acara keirin menerusi pusingan pertama pada pukul 11 malam pada Jumaat ini sebelum memburu emas sulung Komanwel dalam perlumbaan akhir yang dijadual berlangsung pada awal pagi Sabtu ini.

Selepas lebih sedekad mewarnai pentas Komanwel, The Pocket Rocketman mengakui Glasgow 2026 bakal menjadi penampilan terakhirnya di temasya itu, namun beliau tetap mahu meninggalkan gelanggang dengan segala yang masih dimiliki.

“Apa juga keputusan di Sukan Komanwel kali ini, saya akan sentiasa berbangga dengan diri sendiri. Daripada budak kampung yang mempunyai impian besar sehingga berpeluang mewakili negara di salah satu pentas terbesar dunia, ia adalah perjalanan yang akan sentiasa saya syukuri.

“Ini akan menjadi penampilan terakhir saya di Sukan Komanwel. Saya sudah melakukan segala-galanya untuk membuat persiapan dan kini saya menyerahkan selebihnya kepada qada dan qadar Allah. Apa jua yang telah ditetapkan-Nya adalah yang terbaik. 

“Alhamdulillah atas perjalanan ini dan apa sahaja yang berlaku nanti, saya akan turun ke trek dengan penuh kesyukuran serta memberikan segala yang saya ada,” kata pelumba berusia 38 tahun itu.

Rekod Azizulhasni di pentas Komanwel juga membuktikan beliau masih mempunyai urusan yang belum selesai apabila sekadar meraih dua pingat gangsa sepanjang tiga penampilan, masing-masing dalam acara pecut berpasukan di New Delhi 2010 dan keirin di Glasgow 2014, sebelum terlepas edisi Birmingham 2022 akibat menjalani pembedahan jantung.

Namun, cabaran kali ini jauh lebih getir apabila beliau bakal berdepan kelompok pelumba terbaik dunia seperti bekas juara dunia 2022 dari England, Matthew Richardson, jaguh Australia, Leigh Hoffman serta penyandang juara Komanwel dari Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul yang dijangka menjadi pencabar utama dalam acara keirin.

Meskipun berdepan saingan sengit, Azizulhasni bukan hadir sekadar melengkapkan penyertaan kerana prestasinya musim ini membuktikan beliau masih berbisa apabila muncul juara keirin Piala Negara-Negara UCI di Perth pada Mac sebelum mengulangi pencapaian sama di Nilai, April lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN