PETALING JAYA: Status sebagai muka baharu dalam skuad Harimau Malaya tidak memberi sebarang tekanan kepada pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Aysar Hadi Mohd Shapri.
Pemain berusia 22 tahun itu berkata, meskipun dia antara pendatang baharu dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe, itu bukan penghalang buat untuk dia membentuk keserasian dengan pemain-pemain lain.
Menurut Aysar Hadir, semua pemain yang berada dalam skuad kebangsaan memiliki kualiti, sekali gus memudahkan dirinya membentuk keserasaian termasuk Bersama pemain-pemain senior sedia ada.
“Semua pemain membawa kualiti yang terbaik. Masing-masing memiliki kualiti jadi semua pemain senior biasanya akan bimbing kami untuk bermain dengan baik,” katanya.
Aysar Hadi juga mengakui mengakui teruja kerana berjaya mendapat panggilan skuad senior kebangsaan buat kali pertama dan akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberi Cheng Hoe.
“Alhamdulillah atas panggilan pertama daripada jurulatih. Saya sememangnya sudah bersedia daripada segi mental kerana sudah mengetahui dalam senarai menunggu. Jadi setiap hari saya menunggu panggilan skuad kebangsaan.
“Semestinya saya perlu buat yang terbaik, bukan gugup tetapi saya optimis melakukan yang terbaik untuk pasukan negara,” tambahnya yang sebelum ini beraksi dengan skuad kebangsaan bawah 23 tahun.
Aysar Hadi pada awalnya berada dalam senarai menunggu pemain Harimau Malaya selepas senarai 26 pemain diumumkan. Beliau kemudiannya dipanggil sebagai pengganti bek tengah Sabah FC, Dominic Tan.
Skuad Harimau Malaya akan membuka kempen Kumpulan B saingan Piala AFF 2026 dengan menentang Myanmar, esok.
Selepas menentang Myanmar, skuad Harimau Malaya dijadualkan berdepan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Selasa ini.
Selepas itu, mereka akan berdepan Thailand di Bangkok pada 1 Ogos sebelum menutup kempen peringkat kumpulan menentang Filipina di laman sendiri, 8 Ogos. – UTUSAN










