Arsenal perlu ‘pecah tabung’ jika mahu Vinicius

Arsenal perlu ‘pecah tabung’ jika mahu Vinicius

Vinicius Junior
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal perlu memecahkan rekod kontrak kelab jika mahu mendapatkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior dengan menawarkan gaji tertinggi dalam sejarah The Gunners.

Skuad kendalian Mikel Arteta sedang berusaha mendapatkan Vinicius, 26, ketika mereka berhasrat mempertahankan kejuaraan EPL dan melangkah lebih jauh dengan memburu gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Arsenal mengalihkan perhatian kepada penyerang Brazil berkenaan yang kontraknya bersama Real akan berakhir pada 2027 dan masih belum bersetuju menandatangani kontrak baharu bernilai 400,000 pound (RM2.18 juta) seminggu.

Jika ingin merealisasikan impian membawa Vinicius ke Stadium Emirates, Arsenal perlu berbelanja besar kerana pengurus baharu Real, Jose Mourinho tidak bersedia melepaskan tonggak utama pasukannya.

Juara EPL itu juga perlu sekurang-kurangnya menyamai gaji yang diterima Vinicius di Real jika mahu melengkapkan perpindahan berprofil tinggi itu.

Ini bermakna pengurus Arsenal, Mikel Arteta perlu kembali menawarkan kontrak lumayan kepada pemainnya.

Untuk rekod, Arteta tidak gemar kepada pemain bergaji tinggi di Arsenal, beliau segera menyingkirkan pemain seperti Mesut Ozil dan Pierre-Emerick Aubameyang yang masing-masing menerima lebih 350,000 pound (RM1.91 juta) seminggu.

Namun Bukayo Saka baru-baru ini menandatangani kontrak baharu yang menyaksikannya menerima kira-kira 365,000 pound (RM1.99 juta) seminggu.

Jumlah itu mungkin menjadi kebiasaan apabila pengendali dari Sepanyol itu mahu mengekalkan pemain utama yang membantu Arsenal menjulang kejuaraan pertama EPL dalam tempoh 22 tahun musim lalu.

Arteta juga mahu memperkukuhkan jentera serangan susulan Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli dikaitkan dengan perpindahan keluar selepas Leandro Trossard meninggalkan kelab yang kemudian membawa masuk Christos Tzolis.

Sebab itu Arsenal turut dikaitkan dengan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola yang dianggarkan bernilai sekitar 140 juta pound (RM763 juta).

Barcola, 23, turut menjadi sasaran Liverpool, namun kedua-dua kelab gergasi EPL itu masih belum mengemukakan tawaran rasmi.

Perkembangan itu hadir selepas Arsenal enggan memenuhi harga diminta Aston Villa sebanyak 117 juta pound (RM637.65 juta) bagi Morgan Rogers yang akhirnya menyertai kelab pencabar, Chelsea menerusi rekod perpindahan tertinggi membabitkan kelab Britain. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN