Taring Three Lions tumpul depan Ghana

Taring Three Lions tumpul depan Ghana

Pemain Ghana meraikan kejayaan mereka mengikat England seri tanpa jaringan dalam aksi Piala Dunia 2026, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOXBOROUGH: Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui pasukannya ketandusan sentuhan penyudah apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Ghana dalam aksi Kumpulan L Piala Dunia 2026 di Stadium Boston, semalam.

Walaupun menguasai 79 peratus penguasaan bola dan melakukan 19 percubaan ke arah gol, The Three Lions gagal menembusi benteng pertahanan Ghana yang beraksi cukup berdisiplin sepanjang perlawanan.

Menurut pengendali dari Jerman itu, keputusan seri itu mengecewakan namun beliau tetap melihat banyak petanda positif menjelang aksi terakhir menentang Panama.

“Ini adalah kejohanan yang panjang dan saya fikir pemain telah mencuba segala-galanya. Mereka bermain dengan tenaga yang tepat.

“Kami sentiasa mahu menghiburkan penyokong tetapi hari ini ia agak sukar. Saya harap penyokong tidak hilang kepercayaan kerana perjalanan masih panjang,” katanya selepas tamat perlawanan.

England yang membelasah Croatia 4-2 dalam aksi pembukaan sebelum ini, kali ini gagal mempamerkan ketajaman sama apabila hanya tiga daripada 19 percubaan mereka tepat ke sasaran.

Peluang terbaik hadir pada penghujung permainan menerusi pemain gantian, Nico O’Reilly yang menyaksikan percubaannya terkena palang sebelum Harry Kane mensia-siakan peluang susulan apabila rembatan penyerang itu melambung tinggi.

“Dalam 99 daripada 100 situasi, Kane akan menjaringkan gol daripada peluang seperti itu. Jika dia menyempurnakannya, mungkin kita bercakap mengenai kesabaran dan disiplin pasukan, bukannya keputusan seri.

“Kami memperoleh banyak sepakan percuma dan situasi bola mati yang sepatutnya mampu menentukan keputusan, tetapi kami tidak cukup klinikal,” jelas Tuchel.

Keputusan itu bagaimanapun tidak terlalu menjejaskan kedudukan England yang kini mengumpul empat mata daripada dua perlawanan. Kemenangan ke atas Panama di Stadium MetLife, Sabtu ini sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan selaku juara kumpulan.

Sementara itu, Ghana turut meraikan keputusan tersebut selepas berjaya mengutip satu mata berharga yang mengekalkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak edisi 2010.

Jurulatih Ghana, Carlos Queiroz menyifatkan keputusan seri itu sebagai satu kejayaan besar buat pasukannya yang berdepan antara calon utama juara dunia.

“Bola sepak bukan sekadar penguasaan bola, tetapi juga mengenai sikap dan komitmen. Kami meraikannya kerana berjaya mengikat salah satu pasukan pilihan kejohanan,” katanya.

Ghana kini turut mengumpul empat mata selepas sebelum ini menewaskan Panama 1-0 dan akan berdepan Croatia dalam aksi terakhir kumpulan.

Dalam masa sama, Queiroz turut mempersoalkan keputusan pengadil yang tidak menghadiahkan penalti kepada Ghana selepas mendakwa Prince Adu dijatuhkan oleh Ezri Konsa pada penghujung perlawanan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN