Tang Jie-Clarissa masih cari keserasian

Tang Jie-Clarissa masih cari keserasian

Clarissa San masih mencari keserasian dengan Chen Tan Jie sebelum permulaan gandingan baharu itu di Terbuka Jepun bulan depan. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto enggan meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap gandingan baharu Chen Tang Jie-Clarissa San menjelang penampilan sulung mereka di Terbuka Jepun bulan depan.

Menurut Nova, pasangan itu masih dalam proses membina keserasian selepas digandingkan susulan kecederaan Toh Ee Wei, namun perkembangan yang dipamerkan sepanjang sesi latihan cukup positif.

“Walaupun persiapan belum maksimum, tetapi perkembangan mereka setakat ini sudah cukup baik. Saya juga sudah ingatkan Tang Jie dan Clarissa supaya jangan terlalu meletakkan harapan tinggi dahulu.

“Yang penting mereka berikan yang terbaik. Melihat kepada latihan dan persiapan mereka, saya harap mereka mampu melangkah lebih jauh. Sudah tentu kami juga berharap mendapat undian yang baik dan tidak bertemu pemain-pemain terbaik terlalu awal,” katanya.

Nova berkata, keputusan menggandingkan Tang Jie dengan pemain muda itu dibuat berdasarkan kesesuaian corak permainan yang hampir menyamai Ee Wei.

“Kalau saya tengok, Clarissa mempunyai corak permainan yang hampir sama dengan Ee Wei. Mungkin Ee Wei lebih matang dan lebih bijak ketika membuat keputusan dalam gelanggang.

“Tetapi daripada segi corak permainan, Clarissa hampir sama. Dia seorang playmaker dan sebab itu saya mahu mencubanya bersama Tang Jie,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran pertama Clarissa di pentas Jelajah Dunia, Nova percaya pemain muda itu memiliki kekuatan mental yang baik walaupun belum pernah beraksi dalam kejohanan besar bersama Tang Jie.

“Kalau mental saya rasa okay. Mungkin Ee Wei lebih berani kerana lebih berpengalaman. Ini kejohanan besar pertama buat Clarissa, jadi kita akan lihat bagaimana dia mengendalikan tekanan.

“Tetapi saya nampak dia sangat bersemangat dan mahu menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman. Dia tidak menunjukkan rasa takut,” katanya.

Dalam masa sama, Nova memuji perubahan sikap Tang Jie yang kini bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemain senior dalam gandingan tersebut.

“Tang Jie faham dia sekarang perlu menjadi ketua dalam gandingan ini. Saya sudah beritahu dia kerana Clarissa pemain muda, dia perlu lebih kental dan membantu pasangan baharunya.

“Dia sendiri mahu bekerja lebih keras dalam latihan. Itu satu karakter yang sangat baik dan saya gembira melihat perubahan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN