MOGADISHU: Pengadil Somalia, Omar Artan yang dinafikan masuk ke Amerika Syarikat (AS) untuk Piala Dunia kembali ke negaranya dengan sambutan wira sambil berikrar untuk menyertai kejohanan seterusnya pada 2030.
Ribuan orang hadir untuk menyokongnya di Stadium Nasional Mogadishu melaungkan ‘Kemenangan untuk Omar, Kemenangan untuk Somalia’, ketika beliau diangkat ke atas bahu para penyokong untuk melambai, dengan bendera kebangsaan Somalia disarungkan di bahunya dan senyuman terukir di wajahnya.
“Saya akan berada di Piala Dunia seterusnya dan akan terus mengharumkan nama Somalia. Walaupun apa yang berlaku kepada saya, saya tidak patah semangat,” kata Artan kepada para wartawan lebih awal di lapangan terbang utama bandar itu, ketika orang ramai mengibarkan bendera kebangsaan.
Penolakan terhadap Artan telah mencetuskan kemarahan di tanah airnya.
“Mereka telah menzaliminya dengan cara yang menyakitkan semua orang yang prihatin tentang kemanusiaan,” kata Mohamed Said, seorang pegawai kerajaan Mogadishu, di lapangan terbang.
Dalam satu kenyataan, kementerian luar negeri menyatakan bahawa ia akan terus berhubung dengan rakan-rakan berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini dan untuk melindungi maruah serta hak rakyatnya.
Artan, yang pada 2025 dinamakan sebagai pengadil lelaki terbaik tahun ini oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), dihalang daripada memasuki AS selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Sabtu lalu..
Seorang pegawai Jabatan Negara AS memberitahu, pengadil itu dikaitkan dengan anggota yang disyaki organisasi pengganas, sekali gus “menjadikannya tidak layak untuk masuk ke AS.
FIFA juga mengesahkan bahawa pengadil itu tidak lagi akan menjadi sebahagian daripada Piala Dunia 2026. – AFP/UTUSAN










