MIAMI: Pengurus Portugal, Roberto Martinez tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Colombia pada aksi terakhir Kumpulan K Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, semalam.
Keputusan itu menyaksikan Portugal menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik selepas berdepan tentangan sengit daripada wakil Amerika Selatan tersebut.
Sepanjang perlawanan, Colombia lebih banyak mengancam kubu Portugal, namun ketangkasan penjaga gol, Diogo Costa selain campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR) memastikan Selecao berjaya mengelak daripada dibolosi.
“Ia adalah perlawanan yang sangat sukar dan kami memang sudah menjangkakan perkara itu kerana berdepan pasukan dari Amerika Selatan.
“Bagi saya, ini adalah ujian yang sangat baik buat pasukan dan kami menunjukkan karakter yang kuat sepanjang permainan,” kata Martinez.
Menurutnya, kemampuan Portugal bertahan dengan baik ketika diasak lawan menjadi petanda positif menjelang aksi kalah mati yang dijangka lebih mencabar.
“Kami berjaya menamatkan perlawanan tanpa dibolosi dan saya yakin pengalaman seperti ini akan membantu kami mempamerkan aksi lebih baik selepas ini,” katanya.
Dalam masa sama, Martinez turut mempertahankan Cristiano Ronaldo yang dikritik kerana dilihat kurang terlibat dalam gerakan permainan sepanjang aksi tersebut.
“Cristiano ialah seorang penyerang dan kami memerlukan dia berada di kawasan itu kerana itulah peranannya. Dia berada dalam keadaan fizikal yang sangat baik dan kami sentiasa memantau keadaannya,” ujar Martinez.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan K, Yoane Wissa meledak dua gol ketika Republik Demokratik Congo (DR Congo) menewaskan Uzbekistan 3-1 untuk layak ke pusingan 32 terakhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah mereka.
Kemenangan itu menyaksikan DR Congo akan berdepan England selepas meraih kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia.- AGENSI










