LEIRIA: Portugal mencatat kemenangan 2-1 ke atas Nigeria dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia, meskipun bintang veteran mereka, Cristiano Ronaldo gagal mempamerkan sentuhan penyudah terbaik.
Pasukan kendalian Roberto Martinez itu membuka tirai jaringan menerusi Pedro Neto pada pertengahan babak pertama, namun Nigeria berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat hasil jaringan Akor Adams.
Portugal kembali di hadapan pada minit ke-75 apabila Francisco Conceicao menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan yang berlangsung di Leiria.
Ronaldo, yang bakal mencipta sejarah sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, terlepas beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan pasukannya sepanjang perlawanan.
Pada usia 41 tahun, kapten Portugal itu terus menjadi tonggak skuad kebangsaannya, namun terdapat pandangan dalam kalangan pemerhati bola sepak bahawa kehadirannya mungkin menjejaskan perkembangan corak permainan pasukan yang kini dibarisi ramai pemain muda berbakat.
Martinez menurunkan kesebelasan yang hampir lengkap selepas empat pemain yang baru membantu Paris Saint-Germain menjuarai Liga Juara-Juara Eropah menyertai kem latihan pasukan.
Gandingan Vitinha dan Joao Neves mengemudi jentera tengah bersama Bruno Fernandes yang bertindak sebagai perancang utama permainan Portugal.
Kemenangan tersebut memberikan suntikan keyakinan kepada Portugal menjelang kempen Piala Dunia yang akan bermula minggu depan.
Portugal dijadual berlepas ke Palm Beach, Florida esok untuk menjalani persiapan terakhir sebelum membuka kempen Kumpulan K menentang Republik Demokratik Congo di Houston pada 17 Jun.
Selepas itu, mereka akan berdepan Uzbekistan dan Colombia dalam usaha memburu slot ke pusingan kalah mati. – AFP










