MIAMI: Skuad Portugal akan turun beraksi di Piala Dunia 2026 dengan memakai gelang khas bagi mengenang bekas rakan sepasukan, Diogo Jota yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol tahun lalu.
Pemain tengah Portugal, Vitinha berkata, gelang tangan hadiah daripada Perdana Menteri Portugal, Luis Montenegro itu memaparkan nama semua pemain skuad Portugal bersama nama Jota.
“Kisah gelang tangan ini bermula apabila kami bertemu Perdana Menteri dan beliau menghadiahkannya kepada kami. Mereka memastikan gelang ini boleh dipakai ketika perlawanan.
“Ia memenuhi semua syarat untuk kami turun ke padang dengannya, lengkap dengan nama semua pemain serta nama istimewa Diogo Jota.
“Beliau memberi kebebasan kepada kami sama ada mahu memakainya atau tidak, dan bagaimana kami mahu menggunakannya, sama ada sepanjang hari atau ketika perlawanan. Kami menerimanya dengan penuh penghargaan dan memilih untuk memakainya,” kata Vitinha.
Jota yang pernah membuat 49 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 14 gol buat Portugal, meninggalkan kesan mendalam kepada rakan sepasukannya.
Portugal akan memulakan kempen Kumpulan K menentang Republik Demokratik Congo awal pagi Khamis ini.-AGENSI










