PDRM kekalkan khidmat Fadi Awad

PDRM kekalkan khidmat Fadi Awad

FADI Awad kekal bersama PDRM FC musim depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PDRM FC membuat keputusan berani menjelang musim 2026/27 apabila hanya mengekalkan pemain tengah Jordan, Fadi Awad, manakala semua pemain import lain tidak lagi bersama skuad The Cops.

Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC, Muhammad Hafiz Zainal Abidin berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan usaha penstrukturan semula kewangan pasukan yang menuntut pengurusan lebih berhemah dalam perbelanjaan musim hadapan.

Menurutnya, pengalaman serta sumbangan Fadi sepanjang kempen lalu menjadi faktor utama pemain berusia 32 tahun itu terus diberikan kepercayaan untuk mengetuai cabaran pasukan dari bahagian tengah.

“Dalam keadaan kewangan semasa, kami perlu berbelanja mengikut kemampuan. Buat masa ini, memang Fadi sahaja pemain import yang dikekalkan.

“Kami mahu membentuk pasukan yang lebih seimbang dengan memberi ruang kepada lebih ramai pemain tempatan, khususnya anggota dan pemain daripada PDRM sendiri.

“Pada masa sama, usaha mencari pemain import baharu tetap diteruskan bagi mengisi posisi-posisi penting yang memerlukan kekuatan tambahan,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan berakhirnya khidmat dua lagi pemain import, iaitu pertahanan Korea Selatan, Park Tae Su dan penyerang Nigeria, Elisha Oluwasegun Kashim bersama skuad berkenaan.

Fadi tampil sebagai antara pemain paling konsisten PDRM musim lalu apabila merekodkan 26 penampilan dalam semua pertandingan, selain memainkan peranan penting mengimbangi jentera tengah pasukan.

Perkembangan itu turut menyaksikan pemain Jordan berkenaan bakal terus menjadi antara wajah import Liga Super musim depan ketika beberapa pemain senegaranya dikhabarkan akan meninggalkan kelab masing-masing.

Sebelum ini, dua tonggak Jordan milik Selangor FC, Mohammad Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh memberi bayangan bahawa musim 2025/26 mungkin menjadi penampilan terakhir mereka bersama Gergasi Merah.

Dengan Fadi kekal berada dalam perancangan pasukan, PDRM kini dilihat bersedia membuka lembaran baharu yang lebih pragmatik, namun tetap berazam untuk tampil kompetitif dalam saingan Liga Super musim hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN