Migne akui kecewa Haiti tersingkir awal

Migne akui kecewa Haiti tersingkir awal

SEBASTIEN Migne-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHILADELPHIA: Jurulatih Haiti, Sebastien Migne mengakui pasukannya berdepan kekecewaan besar selepas menjadi pasukan pertama tersingkir daripada Piala Dunia apabila tewas 0-3 kepada Brazil dalam aksi Kumpulan C, pagi tadi.

Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan Haiti yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia selepas 52 tahun, pasti menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan tanpa mengira keputusan perlawanan terakhir menentang Maghribi.

“Malam ini kekecewaannya amat besar walaupun kami menentang Brazil.Kami perlu mengakui kualiti lawan dan belajar daripada situasi seperti ini supaya dapat kembali lebih kuat,” kata Migne.

Pengendali dari Perancis itu bagaimanapun enggan membiarkan pasukannya terus tenggelam dalam kekecewaan dan mahu Haiti bangkit menjelang aksi terakhir menentang Maghribi.

“Kembali lebih kuat bermula dalam tempoh lima hari lagi menentang satu lagi pasukan besar yang pernah mara ke separuh akhir Piala Dunia.Kami perlu menyahut cabaran itu dan membuatkan penyokong kami berbangga,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Haiti cuba memberi tentangan dan beberapa kali mengancam kubu Brazil, namun jurang kualiti jelas membezakan kedua-dua pasukan.

Brazil meraih kemenangan menerusi dua gol Matheus Cunha, manakala Vinicius Junior turut meledak satu jaringan.

“Kami ditewaskan, tetapi tidak sepenuhnya dikuasai.Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pemain kerana mereka membuktikan bahawa mereka layak berada di Piala Dunia ini.

“Malangnya hari ini kami berdepan Brazil dan memang terdapat jurang kualiti antara kedua-dua pasukan,” ujar Migne.

Walaupun kempen Haiti berakhir lebih awal, beliau percaya skuad kendaliannya sudah mencapai sasaran utama yang ditetapkan oleh persekutuan bola sepak negara itu.

“Kami tidak boleh memandang ringan pencapaian ini apabila bercakap mengenai Haiti.Hari ini kami berada di pentas terbesar dunia dan menentang salah satu pasukan terbaik dunia,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN