Almiron mangsa peraturan baharu FIFA

Almiron mangsa peraturan baharu FIFA

MIGUEL Almiron(kiri) diarah keluar padang selepas menerima kad merah oleh pengadil perlawanan pada aksi Paraguay menentang Turkiye-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTA CLARA: Pemain Paraguay, Miguel Almiron menjadi individu pertama menerima padah di bawah peraturan baharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila dibuang padang kerana menutup mulut ketika berdepan pemain lawan pada aksi Kumpulan D Piala Dunia, sebentar tadi.

Bekas pemain Newcastle United itu dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak pertama selepas didapati menutup mulut ketika dipercayai mengeluarkan kata-kata terhadap pemain Turkiye, Mert Muldur dalam perlawanan yang berlangsung di Santa Clara, California.

Ketika insiden itu berlaku, Paraguay sedang mendahului 1-0 sebelum pengadil membuat keputusan mengarahkan Almiron keluar padang selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

April lalu, FIFA mengumumkan mana-mana pemain yang menutup mulut ketika berkonfrontasi dengan pemain lawan akan dikenakan kad merah secara automatik.

Langkah itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar badan induk bola sepak dunia berkenaan dalam memerangi isu perkauman dan diskriminasi di atas padang.

Peraturan baharu tersebut tercetus susulan kontroversi membabitkan pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Junior dalam aksi Liga Juara-Juara, Februari lalu.

Walaupun Prestianni menafikan dakwaan berkenaan, dia akhirnya dikenakan penggantungan enam perlawanan dengan tiga daripadanya ditangguhkan atas kesalahan “kelakuan homofobik”.

Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini menjadi antara penyokong paling lantang terhadap pelaksanaan peraturan berkenaan.

“Jika anda tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan, anda tidak perlu menutup mulut ketika bercakap. Semudah itu,” katanya pada Mac lalu.

Insiden membabitkan Almiron kini menjadi kes pertama menyaksikan undang-undang baharu FIFA itu dikuatkuasakan pada pentas Piala Dunia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha badan induk itu membanteras sebarang bentuk diskriminasi dalam bola sepak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN