PETALING JAYA: Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara tidak boleh melakukan sebarang kesilapan ketika berdepan Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN di Stadium Madya 1, Medan, malam ini.
Pengendali B-19 negara, Nafuzi Zain berkata, hanya kemenangan mampu memastikan Malaysia melangkah ke separuh akhir selaku juara kumpulan tanpa perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain.
“Perlawanan ini bukan mudah dan kita perlu menang untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir,” katanya.
Malaysia dan Thailand ketika ini berkongsi enam mata hasil dua kemenangan awal, sekali gus menjadikan pertembungan itu sebagai penentu kedudukan teratas kumpulan.
Thailand kekal dianggap pencabar utama, namun Nafuzi menegaskan anak buahnya perlu kekal fokus memandangkan laluan ke separuh akhir masih belum benar-benar selamat jika sekadar bergantung kepada status naib juara terbaik.
Menurutnya, jika gagal meraih tiga mata, Malaysia berisiko terpaksa menunggu keputusan kumpulan lain bagi menentukan nasib ke peringkat seterusnya.
Dalam masa sama, beliau mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki walaupun skuad muda negara berjaya mencatat dua kemenangan sebelum ini, masing-masing 2-0 ke atas Singapura dan 4-0 ke atas Brunei.
“Banyak lagi yang perlu diperbaiki. Kita ada masa untuk memperkemaskan kelemahan sebelum berdepan Thailand,” katanya.
Mengulas prestasi pasukan, Nafuzi turut memuji keberkesanan skuad negara memanfaatkan situasi bola mati yang menjadi antara sumber utama jaringan setakat ini.
Katanya, walaupun jentera serangan masih belum cukup tajam dalam permainan terbuka, keberhasilan menerusi sepakan sudut dan situasi bola mati membuktikan latihan pasukan membuahkan hasil.
“Yang penting gol dan kemenangan. Bola mati setakat ini memberi hasil positif kepada pasukan,” ujarnya.-UTUSAN










