Lamouchi gesa pemain Tunisia bangkit

Lamouchi gesa pemain Tunisia bangkit

Sabri Lamouchi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTERREY: Ketua jurulatih Tunisia, Sabri Lamouchi mengakui pasukannya dihukum akibat terlalu banyak melakukan kesilapan sehingga tewas 5-1 kepada Sweden dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Dunia 2026.

Menurutnya, kekalahan besar itu amat mengecewakan dan menyukarkan laluan Tunisia dalam saingan kejohanan, sekali gus menuntut reaksi segera daripada para pemain pada perlawanan seterusnya.

“Ini adalah kekalahan yang sukar. Ia menyakitkan. Memulakan kejohanan dengan kekalahan seteruk ini sememangnya sukar,” kata Lamouchi dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.

Lamouchi berkata, pasukannya sedar akan ancaman yang dibawa barisan serangan Sweden yang dibarisi pemain bertaraf dunia namun gagal mengawal mereka dengan berkesan sepanjang perlawanan.

PEMAIN Tunisia kelihatan kecewa selepas menjadi mangsa belasahan Sweden dalam kempen Piala Dunia 2026. – AFP

“Apabila berdepan pemain berkualiti tinggi seperti dua penyerang Sweden, sebarang kesilapan akan dihukum dan sukar untuk diperbaiki semula,” katanya.

Lamouchi turut menegaskan bahawa kelemahan utama Tunisia dalam perlawanan tersebut adalah kesilapan individu yang berulang kali dilakukan sehingga memberi ruang kepada lawan menambah jaringan.

“Kami melakukan terlalu banyak kesilapan dan ia menjadi faktor utama kekalahan ini,” katanya.

Tunisia kini perlu mengalihkan tumpuan kepada baki dua perlawanan Kumpulan F menentang Jepun dan Belanda yang bakal menjadi penentu nasib mereka dalam saingan tersebut.

“Kami masih mempunyai maruah dan perlu memberikan reaksi yang positif. Pasukan ini perlu bangkit serta mempamerkan prestasi yang lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN