Kewangan FAM dibentang secara konsisten

Kewangan FAM dibentang secara konsisten

Kongres pemilihan FAM dijangka berlangsung pada September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal membentangkan penyata kewangan sejak 2016 adalah tidak tepat dan bercanggah dengan proses tadbir urus yang diamalkan badan induk itu.

Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, laporan kewangan FAM sentiasa melalui proses semakan yang ketat sebelum dibentangkan kepada ahli-ahli gabungan.

Menurut Rosmadi, setiap laporan kewangan yang telah diaudit terlebih dahulu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM untuk diperhalusi sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi mendapatkan kelulusan.

“Selepas melalui semua proses tersebut, laporan kewangan berkenaan akan dibentangkan dalam Kongres FAM untuk diterima oleh ahli-ahli gabungan.

“Ini merupakan amalan tadbir urus yang dilaksanakan secara konsisten dan selaras dengan kehendak statut serta prinsip akauntabiliti organisasi,” katanya.

Rosmadi menegaskan, adalah tidak benar untuk mendakwa penyata kewangan yang diaudit tidak pernah dibentangkan sejak 2016 kerana FAM mempunyai mekanisme semak dan imbang yang jelas bagi memastikan setiap laporan kewangan diteliti sewajarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin berkata, sepanjang penglibatannya dalam kepimpinan FAM, penyata kewangan yang diaudit sentiasa menjadi sebahagian daripada agenda rasmi Kongres FAM.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden FAM berkata, dokumen berkaitan turut diedarkan kepada ahli-ahli gabungan sebelum kongres berlangsung bagi membolehkan ia diteliti, dibahas dan diterima mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Proses pembentangan penyata kewangan yang diaudit merupakan antara keperluan asas tadbir urus yang sentiasa diberi perhatian oleh FAM, lebih-lebih lagi sebagai badan induk yang bernaung di bawah FIFA dan AFC,” katanya.

Menurut beliau, selain diaudit oleh juruaudit bertauliah tempatan, rekod kewangan FAM turut menjalani audit tahunan oleh FIFA dan AFC memandangkan badan itu menerima dana daripada kedua-dua organisasi berkenaan.

Sehubungan itu, Mohd. Azhar mengingatkan bahawa sebarang kenyataan melibatkan aspek kewangan dan tadbir urus organisasi perlu berasaskan fakta serta rekod rasmi, bukannya andaian atau maklumat yang tidak disahkan.

“Penyebaran dakwaan tanpa fakta hanya akan menimbulkan kekeliruan serta memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap usaha berterusan FAM dalam memperkukuhkan tadbir urus bola sepak negara,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa ahli-ahli gabungan yang menghadiri Kongres FAM setiap tahun memahami proses tersebut dan mengetahui bahawa penyata kewangan yang diaudit sentiasa dibentangkan sebagai sebahagian daripada agenda rasmi kongres.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN