Kerusi Presiden Kehormat FAM dalam senarai 'pemutihan'

Kerusi Presiden Kehormat FAM dalam senarai ‘pemutihan’

Hamidin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM pada Kongres Luar Biasa FAM pada Jun tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perubahan besar bakal berlaku dalam landskap pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila kerusi Presiden Kehormat berada dalam senarai cadangan untuk dihapuskan.

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada pakej pindaan statut baharu yang akan dibentangkan pada Kongres Luar Biasa FAM, Khamis ini selain cadangan memansuhkan jawatan Timbalan Presiden.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, jawatan Presiden Kehormat dilihat sudah tidak lagi sesuai dengan keperluan pengurusan bola sepak moden dan tidak diamalkan oleh badan bola sepak utama dunia.

Menurut beliau, AFC dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sendiri tidak lagi mengekalkan jawatan berkenaan dalam struktur pentadbiran masing-masing.

“Dalam era bola sepak profesional hari ini, jawatan seperti Presiden Kehormat sudah tidak lagi dipraktikkan. AFC tidak ada, FIFA pun tidak ada.

“Dahulu ia memang popular dan digunakan oleh banyak persatuan, tetapi apabila sistem pentadbiran serta statut berkembang mengikut tuntutan semasa, jawatan itu semakin tidak relevan,” katanya.

Windsor menjelaskan, kebanyakan negara kini lebih cenderung menubuhkan majlis atau kumpulan khas yang menghimpunkan bekas pemimpin persatuan tanpa melibatkan mereka secara rasmi dalam struktur pentadbiran semasa.

Cadangan pemansuhan itu dilihat bakal memberi kesan langsung kepada penyandang Presiden Kehormat FAM ketika ini, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin yang dilantik ke jawatan berkenaan menerusi Kongres Luar Biasa pada Jun tahun lalu.

Dalam masa sama, AFC turut mencadangkan rombakan besar terhadap struktur Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Menerusi draf statut baharu yang mengandungi 94 artikel, jumlah kerusi Jawatankuasa Eksekutif dicadangkan dikurangkan daripada 17 kepada hanya 11 jawatan.

Struktur baharu itu merangkumi seorang Presiden, tiga Naib Presiden dan tujuh ahli Exco.

Windsor berkata, cadangan berkenaan dibuat hasil audit pengurusan kualiti yang dijalankan AFC terhadap pentadbiran FAM bagi memastikan badan induk bola sepak negara itu bergerak selari dengan amalan tadbir urus moden.

Selain membentangkan cadangan pindaan statut, AFC juga dijadual membentangkan laporan penuh audit pentadbiran FAM kepada ahli gabungan sebelum Kongres Luar Biasa berlangsung.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN