ATLANTA: Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente menyifatkan pasukannya telah menutup mulut pengkritik selepas mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Arab Saudi dalam aksi peringkat Kumpulan H Piala Dunia 2026, semalam.
Kemenangan meyakinkan itu hadir selepas permulaan perlahan apabila La Roja hanya sekadar seri tanpa jaringan menentang Cape Verde dalam aksi pembukaan.
Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal yang baru pulih daripada kecederaan hamstring, diturunkan sebagai pemain gantian pada perlawanan pertama sebelum kembali dalam kesebelasan utama menentang Arab Saudi.
Pemain berusia 18 tahun itu hanya beraksi selama 45 minit, namun tetap mencuri tumpuan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-10 hasil umpanan Mikel Oyarzabal, sekali gus mencipta gol Piala Dunia pertamanya.
Oyarzabal kemudian meledak dua gol dalam tempoh tiga minit untuk mengukuhkan dominasi Sepanyol, selain terus membuktikan ketajamannya apabila kini mengumpul 14 gol dalam 13 penampilan antarabangsa terakhir.
De la Fuente menegaskan kritikan terhadap pasukannya adalah tidak wajar memandangkan rekod tanpa kalah Sepanyol dalam 33 perlawanan kompetitif berturut-turut.
“Apabila seseorang mempersoalkan kerja anda, adalah manusia biasa bagi sesiapa yang berani dan mempunyai maruah untuk bertindak balas bagi membuktikan mereka salah.
“Kita tidak sepatutnya melihat kritikan itu sebagai sesuatu yang menjengkelkan, sebaliknya ia mendorong orang untuk memberikan yang terbaik.
“Maksud saya ialah ia perlu dilihat dalam perspektif. Bagi saya, adalah tidak masuk akal untuk meragui pasukan ini yang tidak tewas dalam 33 perlawanan berturut-turut.
“Untuk meragui generasi ini? Saya rasa itu tidak adil,” katanya.
De la Fuente turut memuji persembahan Yamal yang menurutnya berada pada tahap terbaik, walaupun tidak diturunkan sepenuh masa demi mengelakkan risiko kecederaan.
“Dia berada dalam keadaan yang sempurna dan kami mahu memastikan dia terus lapar untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Oyarzabal yang kurang diberi perhatian berbanding bintang lain terus membuktikan peranannya penting dalam skuad Sepanyol, termasuk menjaringkan gol kemenangan pada aksi final Euro 2024 menentang England.
De la Fuente menyifatkan penyerang Real Sociedad itu sebagai pemain yang amat dihargai dalam pasukan.
“Dia pemain yang mampu mencipta sejarah untuk bola sepak Sepanyol,” katanya. – AFP










