PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan program berbasikal negara berisiko berdepan laluan sukar sekiranya Pengarah Teknikal Berbasikal Kebangsaan, John Beasley membuat keputusan meninggalkan Malaysia.
Menurut pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, Beasley merupakan individu yang memainkan peranan besar dalam mengubah landskap berbasikal Malaysia sehingga muncul sebagai antara kuasa yang disegani di pentas dunia.
“Jika John pergi, program berbasikal negara mungkin akan menuju ke laluan yang sukar kerana dialah individu yang membantu mengubah berbasikal Malaysia daripada hampir tiada apa-apa kepada kuasa bertaraf dunia.
“Malaysia akan berdepan cabaran besar untuk mencari seorang lagi jurulatih seperti John kerana dia bukan sahaja luar biasa dalam kejurulatihan, perancangan dan pembangunan atlet, malah mempunyai pendekatan mesra keluarga yang mendapat penghormatan dan kepercayaan ramai pelumba,” kata Azizulhasni menerusi hantaran di Instagram.
Azizulhasni berkata, Beasley juga telah menerima pelbagai tawaran daripada negara lain selama bertahun-tahun, namun tetap memilih untuk setia bersama Malaysia.
Malah, katanya, jurulatih kelahiran Australia itu sanggup meninggalkan perniagaan basikal keluarganya di Melbourne yang telah beroperasi lebih 100 tahun demi memberi tumpuan kepada pembangunan sukan berbasikal negara.
Terdahulu, Beasley mendedahkan beliau mungkin tidak akan meneruskan kontraknya sehingga tamat pada Januari tahun depan susulan kekecewaan terhadap beberapa isu termasuk politik dalaman, birokrasi dan kekurangan hala tuju dalam pembangunan sukan berbasikal.
Beasley turut mendakwa beliau berdepan serangan peribadi daripada pihak tertentu selain kecewa apabila usaha yang cuba dilaksanakan sering menerima tentangan daripada individu yang mempunyai agenda sendiri.
“Selepas melaburkan begitu banyak dirinya dalam program ini, saya faham mengapa dia berasa kecewa apabila perkara tidak berjalan seperti dirancang, termasuk berdepan politik dalaman, tentangan daripada jurulatih tempatan tertentu yang mahu dia disingkirkan dan persekitaran yang mungkin tidak menyokong sepenuhnya cita-cita prestasi tinggi.
“Jika dia pergi, berbasikal Malaysia bukan sekadar kehilangan seorang jurulatih, tetapi kehilangan seorang pemimpin yang memainkan peranan besar meletakkan negara di pentas dunia dan semoga berjaya kepada mereka yang percaya mereka boleh melakukannya dengan lebih baik,” kata Azizulhasni. – UTUSAN










