PHILADELPHIA: Pemain sayap Ivory Coast, Yan Diomande menegaskan pasukannya tidak hadir ke pentas Piala Dunia 2026 sekadar untuk melengkapkan saingan, sebaliknya berazam mencipta sejarah selepas memulakan kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Ecuador, semalam.
Kemenangan berharga itu hadir menerusi jaringan lewat pemain gantian, Amad Diallo pada minit ke-90 yang memastikan tiga mata penuh buat skuad The Elephants dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Philadelphia.
Menurut Diomande, kemenangan tersebut amat penting bagi meningkatkan keyakinan pasukan, lebih-lebih lagi selepas berdepan tentangan sengit daripada Ecuador sepanjang perlawanan.
“Kami tahu Ecuador adalah pasukan yang kuat. Kami perlu bersabar dan menunggu peluang yang sesuai sebelum berjaya mendapatkan gol kemenangan.
“Memulakan kejohanan dengan kemenangan sentiasa memberi suntikan keyakinan kepada pasukan. Kami tidak datang ke sini hanya untuk mengambil bahagian. Kami mahu mencipta sejarah,” katanya.
Ivory Coast yang membuat penampilan keempat di Piala Dunia dan yang pertama sejak 2014, kini berada pada kedudukan terbaik untuk melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama.
Masih berbaki perlawanan menentang Jerman dan Curacao, Diomande percaya pasukannya mampu meneruskan momentum positif tersebut.
“Kami akan melakukan segala yang termampu untuk memenangi perlawanan seterusnya. Jerman adalah antara pasukan terbaik dunia, tetapi kami perlu kekal tenang dan merendah diri,” katanya. – AFP










