Harimau Malaya tidak perlu jurulatih import

Harimau Malaya tidak perlu jurulatih import

JAMAL NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee, Tan Cheng Hoe dan Datuk Dollah Salleh dianggap calon paling sesuai mengemudi skuad kebangsaan buat sementara waktu sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik kepimpinan baharu.

Pandangan itu disuarakan legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail ketika Harimau Malaya berdepan situasi tanpa pengendali tetap selepas pemergian Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain.

Menurut Jamal, keutamaan ketika ini bukan mencari nama besar dari luar negara, sebaliknya memanfaatkan pengalaman jurulatih tempatan yang sudah memahami landskap bola sepak negara.

Katanya, skuad kebangsaan masih mempunyai dua tugasan penting di pentas serantau menerusi Piala AFF dan Piala ASEAN FIFA yang memerlukan kestabilan segera dalam pasukan.

“Tidak perlu membazir, kalau ambil jurulatih luar pun apa magis mereka boleh buat kerana kita pun bukan ada ramai pemain berkelas antarabangsa.

“Jadi sebaiknya beri peluang kepada jurulatih tempatan kita,” katanya.

Jamal berkata, selain Cheng Hoe, Kim Swee dan Dollah, seorang lagi nama yang layak dipertimbangkan ialah Datuk Zainal Abidin Hassan berdasarkan pengalaman luas mereka dalam arena bola sepak tempatan.

“Apa salahnya kalau kita utamakan ‘Buatan Malaysia’ dulu, kemudiannya kita nilai, kalau patut kekal, kekalkan mereka dan kalau tidak, buatlah keputusan terbaik untuk pilih siapa yang akan ganti.

“Saya rasa, boleh juga buat pendekatan ‘panel ketua jurulatih’ antara keempat-empat jurulatih ini kerana sekurang-kurangnya mereka boleh beri idea masing-masing demi kebaikan pasukan,” katanya.

Sebelum ini, FAM mengesahkan kontrak Cklamovski dan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Nafuzi Zain ditamatkan menerusi persetujuan bersama, sekali gus membuka ruang kepada pencarian ketua jurulatih baharu.

Cklamovski kemudiannya diperkenalkan secara rasmi sebagai pengurus Salford City yang beraksi dalam Liga Dua England, manakala Nafuzi dijangka kembali menyertai Terengganu FC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN