LONDON: Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton dilaporkan berhasrat untuk menukar nama rasminya sebagai tanda penghormatan kepada ibunya dan merancang menggunakan nama tersebut dalam perlumbaan akan datang.
Hamilton, 40, yang kini bersama pasukan Ferrari, sebelum ini telah menyatakan keinginannya untuk memasukkan nama keluarga ibunya ke dalam nama tengahnya sebagai satu penghargaan terhadap pengorbanan keluarga.
Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana dia amat berbangga dengan keturunan keluarganya, khususnya daripada sebelah ibunya yang jarang diketengahkan kepada umum.
“Ibu saya mempunyai nama keluarga Larbalestier dan saya mahu nama itu terus kekal serta menjadi sebahagian daripada identiti saya,” katanya.
Hamilton menambah bahawa perubahan nama itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa makna peribadi yang mendalam dalam kehidupannya sebagai seorang anak.
Dalam masa yang sama, Hamilton turut menyuarakan pandangan peribadinya mengenai amalan pertukaran nama selepas perkahwinan, yang menurutnya kurang adil terhadap pihak wanita.
“Saya tidak begitu memahami sepenuhnya mengapa, apabila orang berkahwin, wanita kehilangan nama mereka. Saya benar-benar mahu nama itu terus kekal bersama nama Hamilton,” katanya.
Hamilton kini dilaporkan memperoleh pendapatan 52 juta pound (RM279 juta) setahun di bawah kontrak semasanya bersama Ferrari. – AGENSI










