PETALING JAYA: Tiga penamat di puncak bukit bakal menguji ketahanan fizikal dan mental pelumba menjelang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang memasuki edisi ke-30.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, laluan sejauh 1,258.5 kilometer (km) merentasi lapan negeri itu menawarkan cabaran luar biasa dengan pendakian ke Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands menjadi tumpuan utama perlumbaan yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini.
Menurut beliau, pendakian ke puncak Gunung Jerai yang diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah LTdL bakal menjadi ujian awal buat pelumba apabila mereka perlu mendaki dari aras laut sehingga hampir 1,000 meter pada peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai.
“Ulang tahun ke-30 LTdL kali ini amat istimewa kerana kita menyajikan laluan paling sukar dalam sejarah penganjuran dengan tiga penamat di puncak bukit.
“Pendakian Gunung Jerai diperkenalkan buat pertama kali dan saya percaya ia akan menjadi igauan kepada pelumba kerana cabarannya yang cukup sukar,” katanya ketika majlis pelancaran logo dan laluan LTdL 2026 di sini,semalam.
Tambahnya, penganjur turut mengembalikan cabaran pendakian berturut-turut ke Cameron Highlands dan Genting Highlands yang hanya pernah diadakan pada edisi 2001 dan 2011.
Katanya, laluan ke Cameron Highlands kali ini juga lebih mencabar berbanding dua edisi terdahulu kerana pelumba akan mendaki dari Tapah menuju ke Tanah Rata, berbanding laluan Simpang Pulai yang dianggap lebih mesra pendaki.
“Kita juga menerima lampu hijau daripada Resorts World Genting untuk kembali mengadakan penamat di Genting Highlands. Ini sudah pasti menggembirakan peminat setia LTdL yang sentiasa menantikan suasana meriah di sana,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Taufiq memaklumkan kesemua 20 pasukan yang dijemput daripada kategori World Team, Pro Team, Continental Team dan pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan masing-masing.
Beliau optimis pasukan tempatan seperti Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) serta skuad kebangsaan mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan antarabangsa.
LTdL 2026 akan menjelajah Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak dan Kedah, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) kekal sebagai penganjur selepas kejayaan mengendalikan tiga edisi terdahulu. – UTUSAN










