PHILADELPHIA: Ketua jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Ecuador sebagai bukti jelas bahawa misi pasukan muda itu di Piala Dunia bukan sekadar penyertaan, sebaliknya hadir dengan sasaran lebih besar untuk melangkah jauh dalam kejohanan.
Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan oleh pemain gantian, Amad Diallo pada minit ke-90 memastikan permulaan sempurna Ivory Coast dalam aksi Kumpulan E semalam.
Sejak memastikan tiket ke kejohanan itu, Ivory Coast menunjukkan prestasi memberangsangkan termasuk kemenangan dalam aksi pemanas badan menentang Korea Selatan dan Scotland pada Mac, selain menewaskan Perancis 2-1 di tempat lawan minggu lalu.
Barisan pemain muda Ivory Coast turut menerima tentangan sengit daripada benteng pertahanan Ecuador yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Willian Pacho dan Piero Hincapie, selain kawalan di bahagian tengah oleh Moises Caicedo.
“Kami datang ke Amerika Syarikat (AS) untuk ini dan kami datang ke sini dengan cita-cita serta harapan yang tinggi. Kami tidak mahu sekadar datang melawat AS dan kemudian pulang, jadi setakat ini semuanya berjalan lancar.
“Kami telah mengalahkan Perancis. Kami memulakan kejohanan ini dengan baik menentang Ecuador, pasukan yang sangat sukar, tetapi kami berjaya menyesuaikan diri dan memenangi perlawanan. Ini menunjukkan pasukan kami telah melaksanakan tugas dengan baik,” kata Fae.
Mengulas pertembungan seterusnya menentang Jerman, Fae mengakui ia bukan tugas mudah selepas lawan itu membelasah Curacao 7-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan E.
“Jerman memiliki pengalaman luas dan pemain bertaraf dunia. Mereka pasukan yang sangat kuat, tetapi kami akan turun dengan mentaliti untuk menang,” katanya.
Ivory Coast yang kali terakhir beraksi di Piala Dunia pada 2014 masih memburu penampilan sulung ke peringkat kalah mati dalam sejarah penyertaan mereka. – AGENSI










