TORONTO: Jepun menerima tamparan hebat menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 apabila kapten pasukan, Wataru Endo disahkan menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan sebelum mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak antarabangsa.
Berita tersebut hadir pada saat skuad Samurai Biru sedang giat melakukan persiapan terakhir bagi menghadapi cabaran Kumpulan F, menyaksikan mereka kehilangan bukan sahaja pemain berpengalaman, malah pemimpin utama di dalam padang.
Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) mengesahkan pemain tengah berusia 33 tahun yang beraksi bersama Liverpool itu tidak dapat meneruskan kempen Piala Dunia dan tempatnya digantikan oleh penyerang Borussia Monchengladbach, Shuto Machino.
Kehilangan Endo dijangka memberi kesan besar kepada Jepun memandangkan pemain itu merupakan antara tonggak utama yang membantu pasukan muncul antara kuasa baharu bola sepak Asia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Endo, dia telah berusaha sedaya upaya untuk pulih daripada kecederaan yang dialami, namun akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya tidak mampu beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia itu.
“Sejak mengalami kecederaan, saya sudah melakukan segala yang mampu sehingga ke saat ini, jadi saya tidak mempunyai sebarang penyesalan,” katanya menerusi media sosial.
Bagaimanapun, bekas pemain VfB Stuttgart itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila impian untuk beraksi dalam satu lagi edisi Piala Dunia musnah pada saat-saat akhir.
Lebih menyentuh hati, Endo turut mengumumkan bahawa perjalanan bersama skuad kebangsaan Jepun berakhir di sini selepas memutuskan untuk bersara daripada tugas antarabangsa.
“Dengan berakhirnya kempen ini, saya juga akan bersara daripada pasukan kebangsaan. Selepas ini saya akan menyokong Jepun sebagai salah seorang penyokong,” ujarnya.
Keputusan tersebut menutup lembaran karier antarabangsa yang cemerlang buat Endo yang selama ini menjadi simbol kestabilan dan kepimpinan Jepun di pentas antarabangsa.
Beliau turut melahirkan rasa bangga melihat perkembangan skuad Samurai Biru yang terus menunjukkan peningkatan sejak kempen Piala Dunia 2022 di Qatar, sekali gus yakin pasukan itu mampu meneruskan perjuangan tanpa kehadirannya.
Jepun yang membuat penampilan kelapan di pentas Piala Dunia diundi dalam Kumpulan F bersama Belanda, Tunisia dan Sweden.
Kini, tumpuan pasukan kendalian Hajime Moriyasu terarah kepada aksi pembukaan menentang Belanda di Dallas pada Isnin ini (15 Jun), dengan misi membuktikan mereka masih mampu bersaing walaupun tanpa kelibat kapten yang telah banyak berjasa kepada negara.-AGENSI










