PETALING JAYA: Pemain beregu campuran No.1 negara, Toh Ee Wei berisiko terlepas Kejohanan Dunia dan Sukan Asia tahun ini susulan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky turut menyuarakan kebimbangan tersebut dan berharap jaguh beregu campuran itu segera sembuh.
“Tentang berapa lama dia harus menjalani proses pemulihan, tolong bertanya kepada doktor. Kita harap sebelum Kejohanan Dunia dan Sukan Asia dia sudah sembuh sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Keputusan doktor sejauh mana serius kecederaan yang dialami dan jangka waktu diperlukan Ee Wei untuk sembuh bakal menentukan sama ada pemain itu berpeluang mempertahankan gelaran pada Kejohanan Dunia di India, 17 hingga 23 Ogos depan.
Ee Wei yang berpasangan dengan Chen Tang Jie juga merupakan prospek pingat emas Kontinjen Malaysia pada Sukan Asia 2026 di Jepun yang berlangsung pada 9 September hingga 4 Oktober depan.
Kaedah rawatan serta proses pemulihan yang diperlukan Ee Wei bakal menjadi penentu peluang beregu campuran No. 4 dunia itu dapat beraksi pada kejohanan dunia ataupun sebaliknya.
Kelmarin, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan hasil pemeriksaan imbasan resonans magnetik (MRI) mendapati Ee Wei mengalami koyakan separa pada ACL di lutut kiri pemain itu dan terpaksa menarik diri daripada Terbuka Indonesia yang bermula, semalam.
Jumaat ini, Ee Wei akan menjalani pemeriksaan MRI susulan sebelum pasukan perubatan BAM menentukan kaedah rawatan serta program pemulihan.
Sementara itu, Ee Wei dalam hantaran di media sosial mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mengirimkan mesej dan berada diisinya mengharungi tempoh yang sukar ini.
“Saya ada terima dan membaca semua mesej anda, terima kasih di atas sokongan semua, ini amat bermakna untuk saya.
“Saya sekarang boleh berjalan perlahan-lahan dan berita telah keluar saya mengalami kecederaan ACL. Izinkan saya berehat seketika untuk beri fokus kepada proses pemulihan dan mencari jalan terbaik demi masa depan saya,” katanya.
Anak jati Melaka itu memberi jaminan bersedia melakukan apa sahaja untuk sembuh secepat mungkin dan jika diberi peluang lagi masuk ke gelanggang, dia berjanji akan memberikan segala-galanya.-UTUSAN










