Deschamps tuntut Olise pamer aksi konsisten di Piala Dunia

Deschamps tuntut Olise pamer aksi konsisten di Piala Dunia

PENYERANG Perancis, Michael Olise (kiri) diasak pemain tengah Ireland Utara, Alistair McCann dalam aksi persahabatan di Arena Decathlon, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LILLE: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mahu Michael Olise mengekalkan prestasi cemerlangnya di pentas Piala Dunia selepas penyerang itu meledak hatrik ketika membantu Les Bleus menewaskan Ireland Utara 3-1 dalam aksi pemanas badan di Arena Decathlon, Stade Pierre, Mauroy, semalam.

Pemain sayap Bayern Munich berusia 24 tahun itu menjadi watak utama apabila menjaringkan dua gol menerusi bola muntah sebelum melengkapkan hatrik dengan rembatan lencong menarik dari luar kotak penalti.

Gol Ireland Utara pula disumbangkan oleh Patrick Kelly, namun ia tidak cukup untuk menghalang Perancis meraih kemenangan menjelang kempen Piala Dunia mereka.

Menurut Deschamps, Olise kini berada pada tahap terbaik selepas mempamerkan aksi konsisten bersama Bayern Munich dan skuad kebangsaan.

“Kami memerlukan Michael Olise yang berada pada tahap seperti ini. Dia menonjol kerana musim yang hebat bersama Bayern dan juga ketika bersama pasukan kebangsaan.

“Dia telah mencapai banyak perkara yang mengagumkan dan kini penuh keyakinan. Selain itu, dia juga sanggup bekerja keras untuk pasukan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Olise bergandingan bersama kapten pasukan, Kylian Mbappe, serta dua pemain Paris Saint-Germain (PSG), Desire Doue dan Ousmane Dembele yang kembali diturunkan selepas direhatkan dalam aksi persahabatan terdahulu menentang Ivory Coast.

Walaupun memiliki barisan serangan yang digeruni, Perancis dilihat masih belum mencapai tahap permainan terbaik apabila beberapa kali gagal memanfaatkan peluang yang terhasil.

Mbappe yang kini hanya memerlukan satu gol lagi untuk menyamai rekod jaringan sepanjang zaman Perancis milik Olivier Giroud turut gagal menyerlah sepanjang perlawanan.

Sementara itu, pertahanan Arsenal, William Saliba yang sebelum ini dibelenggu masalah kecederaan, kembali beraksi dan dijangka menjadi tonggak utama skuad Perancis menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Senegal pada 16 Jun.

Sebagai sebahagian persediaan menghadapi kejohanan itu, Perancis akan berlepas ke kem latihan berhampiran Boston pada Rabu sebelum meneruskan aksi persahabatan menentang Iraq dan Norway dalam saingan Kumpulan I. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN